( 33) – ARKIB SEJARAH SILAT KALIMAH TAHUN 1970’AN

( 33) – ARKIB SEJARAH SILAT KALIMAH TAHUN 1970’AN

 

Ini adalah di antara koleksi gambar-gambar lama yang dipunyai oleh Pak Jo. Dipercayai diambil sekitar tahun 1975.

 

Gambar-gambar tersebut memuatkan aksi di antara Allahyarham Pak Ya ( Pak Guru Yahya Said ) dengan anak tirinya ; Allahyarham Pak Mansur . Kedua-dua anak-beranak ini memperagakan aksi-aksi Buah-Buah Jatuh ( Kuncian ) Silat Kalimah dari Buah Pertama (1) sehinggalah Buah Kedua Puluh Tujuh (27) . Dan ia dirakamkan di Dewan Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy , Kelab ( sekarang ini dikenali sebagai Pejabat Perhubungan ) PAS Kota Bharu , Kelantan Darul Naim .

 

Selain itu , gambar-gambar aksi Buah 1 – 27 juga dilakonkan juga oleh Pak Zohdi dan Pak Jo ketika Konvensyen Silat Kalimah ( 1975 ) di Batu Kurau , Perak Darul Ridzuan . Menurut kata Pak Jo , konvensyen itu dirasmikan oleh oleh YAB Tan Sri Ghazali Jawi yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar Perak Darul buat kali kedua .

 

Buat masa ini gambar-gambar ini tidak akan dipertontonkan secara keseluruhannya , samada di Alam Siber ini ataupun di luarnya . Ini untuk memberi peluang Pak Jo menyusun kembali susunan gambar-gambar tersebut yang memuatkan setiap aksi Buah-Buah Jatuhan Peringkat 1 di dalam Silat Kalimah yang diwarisi daripada Allahyarham Pak Ya .

 

Insya-ALLAH , setelah selesai nanti . Gambar-gambar tersebut akan di’scan’ agar ianya dapat ditatap lagi oleh pencinta-pencita Silat Kalimah ini khususnya generasi mendatang .

 

Semoga ALLAH TA’ALA memudahkan kerja-kerja ini dilaksanakan .

 

Amin Ya Robbal ‘Alamin .

 

 

 

 

 

Posted in SEJARAH, SILIBUS PELAJARAN | Leave a comment

( 32) – NIAT MEMANG BAIK TETAPI TINDAK-TANDUK JAHAT

( 32) – NIAT MEMANG BAIK TETAPI TINDAK-TANDUK JAHAT

Di dalam Islam , bukan NIAT (TUJUAN) sahaja wajib IKHLAS , bahkan TINDAKAN untuk mencapai NIAT dan merealisasikan TUJUAN itu juga mestiah IKHLAS dan MENGIKUTI SUNNAH SALAFUS SOLIHIN ( Generasi Awal Yang Mulia : Baginda Rasulullah SAW – Para Sahabat R.A – Para Tabi’ien R.A – Dan Tabi’ut Tabi’ien R.A ) .

Sekadar NIAT sahaja baik tetapi TINDAKANNYA membelakangi Sunnah , maka ia adalah DOSA & MAKSIAT . Sebab itu tiada tindakan ala – Robin Hood yang diiktiraf oleh Islam walaupun niatnya mencuri dan merompak itu adalah untuk menolong orang susah .

Di dalam Silat Kalimah , biasa diingatkan oleh Allahyarham Pak Ya kepada murid-muridnya : “ Buat sesuatu kerja biarlah seiring kesemuanya. Macam dalam sembahyanglah , ada Qauli – Fek’li – Qolbi “ .

“ Qauli – Fek’li – Qolbi “  itu adalah SEIRINGAN-SEJALAN . Apa yang ada di Lisan – Perbuatan – Hati . Dan ketiga-tiga itu bukan sahaja di dalam SOLAT , bahkan juga ia adalah elemen-elemen yang wajib ada pada setiap orang yang mahu diterima di sisi ALLAH sebagai seorang yang beriman ( mukmin ) sebenar .

Sesuai dengan Hadist Baginda RasululLah SAW berikut :

سألت النبي صلى الله عليه وسلم عن الإيمان ما هو قال معرفة بالقلب وإقرار باللسان وعمل بالأركان

 Ertinya : Saidina Ali R.A meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Baginda RasululLah SAW mengenai apakah iman itu . Jawab Baginda SAW : “ Iman itu adalah Kenal dengan Hati – Diucapkan ikrarnya oleh Lisan (Mulut) – Dan dibuktikan pula dengan perbuatan tubuh-badan “ ~ Hadist Sahih diriwayatkan oleh Al-Imam al-Hafiz al-Mizziy RH di dalam Kitabnya : Tahdzib al-Kamal (11/465) .

Begitulah juga yang pernah terjadi sendiri kepada Saidina Ali R.A ini tatkala beliau dikutuk dengan hebat oleh golongan yang lari meninggalkannya ; Golongan KHAWARIJ , disebabkan beliau menerima keputusan keputusan damai menerusi Majlis At-Tahkim di antara kumpulan beliau dengan kumpulan Saidina Mu’awiyyah R.A .

Golongan yang lari dari mentaati beliau itu ( Khawarij ) pun berhujah dengan slogan : TIADA HUKUMAN MELAINKAN HUKUMAN ALLAH SEMATA-MATA !!! .

Menurut Khawarij , tindakan Saidina Ali R.A itu adalah membelakangi KITAB ALLAH dengan menerima keputusan yang dipersetujui oleh sesama manusia . Lalu Saidina Ali R.A pun berkata sebagai respon terhadap slogan yang diucapkan oleh Puak Khawarij itu :

  كلمة حق يراد بها باطل

Ertinya : “  Slogan (Perkataan) itu betul , tetapi maksud ( niat ) mereka itu batil ( rosak/salah) “ .

Memanglah kata-kata itu indah , namun tindak-tanduk Golongan Khawarij yang mengkafirkan kesemua Sahabat R.A yang terlibat di dalam Majlis At-Tahkim , Perang Jamal dan Perang Siffin itu sudah tentu lebih batil dan lebih sesat menggambarkan bahawa SLOGAN dan TINDAKAN mereka sendiri sebenarnya adalah bercanggah . Dalam bahasa lain ; NIAT itu sebenarnya tidak ikhlas ! .

Ikhlas memanglah tempatnya di dalam hati. Namun “ bahasa tubuh badan “ dapat menterjemahkan apa yang ada di sebalik hati itu . Ibarat filem P. Ramlee yang bertajuk MADU TIGA . Tatkala P.Ramlee ( sebagai Jamil ) mengatakan kepada Pak Ali (lakonan M.Babjan) : bapak kpd Rohani (lakonan Sarimah ) bahawa keluarga Pak Ali  tak perlu lagi bayar sewa rumah itu . Sarimah tertarik hati (dan jatuh cinta) dengan tindakan P.Ramlee itu dengan katanya : “ Abang Jamil tu baik ya , Pak “ . Pak Ali pun menjawab : “ Baik ?. Baik ada makna tuuuuuuuuu “ .

Maka , usahlah mudah tertipu dengan mulut yang manis dan gaya yang menarik . Tidak sedikit di zaman moden ini penjahat yang berpakaian “ High-Class “ , bergaya kemas dan bermuka manis lagi segak . Ini bukan lagi zaman dahulu yang “ crook “ nya mesti bermuka jahat dan berpakaian seperti lanun di tengah lautan . Don’t judge the book by its cover ! .

Waspada itu wajib . Berhati-hati itu senantiasa diperlukan . Tawakkal pula jangan dilupakan . Itulah SILAT orang beriman . Bukan sekadar hebat bersilat di gelanggang , namun juga di pentas sebenar kehidupan yang penuh cabaran ini .

Dan orang beriman itu berilmu pengetahuan lagi cerdik dan tidak akan jatuh di lubang yang sama sekali lagi .

Usah ditipu musuh yang datang menyamar dengan pakaian kita ! . Jangan sampai dipermainkan dek musang yang berbulu ayam ! .

Posted in INTIPATI SILAT KALIMAH, RENUNGAN | Leave a comment

( 31 ) – SIAPAKAH PENGASAS SEBENAR SILAT KALIMAH DAN APA HUBUNGANNYA DENGAN PENUBUHAN KERAJAAN KEDAH DARUL AMAN DAN BANGSA MELAYU SERANTAU ?

( 31 ) – SIAPAKAH PENGASAS SEBENAR SILAT KALIMAH DAN APA HUBUNGANNYA DENGAN PENUBUHAN KERAJAAN KEDAH DARUL AMAN DAN BANGSA MELAYU SERANTAU ?

 

 

Boleh dikatakan semua pesilat Silat Kalimah yang dikembangkan di zaman moden ini oleh Allahyarham Pak Guru Yahya Said ( Pak Ya ) percaya bahawa PENGASAS TERAWAL SILAT KALIMAH ini adalah SYEIKH TAJREED . Itulah nama yang disebut-disebut zaman berzaman oleh para pesilat aliran ini . Bahkan mereka juga percaya bahawa tuan syeikh itu jugalah yang menyebabkan Raja Kerajaan Kedah Tua di masa itu memeluk Islam . Khabarnya , tuan syeikh itu bukan datang berseorang untuk berdakwah malahan bersama 11 orang lagi para pendakwah yang bersama-sama dengannya untuk tujuan yang suci-murni itu .

 

Semua orang tahu bahawa raja-raja di zaman dahulu bukanlah orang sembarangan . Sudah pasti yang menjadi raja itu ibarat kata orang-orang tua : “ Siapa kudrat ( kuat ) , dialah yang berdaulat ( berkuasa ) “ . Sebab itulah tidak sedikit di dalam rakaman sejarah dunia ini yang menunjukkan seseorang raja / pemerintah itu digantikan oleh orang lain walaupun bukan “ berdarah raja “ disebabkan mempunyai kelicikan ilmu siasah ( politik ) yang lebih dalam dan juga disebabkan mempunyai ilmu perang ( ilmu tempur ) yang lebih tinggi daripada seseorang raja atau pemerintah itu .

 

Maka begitulah dengan Raja Kerajaan Kedah Tua ini . Sudah pasti semua keperluan ilmu tersebut ada pada diri baginda. Jika tidak , masakan seorang raja yang datang dari jauh ( Negara Parsi ) yang bukan penduduk tempatan dapat diterima rakyat jelata menjadi tuan kepada mereka .

 

Bagaimanakah seorang raja yang gagah-perkasa dan memiliki berbagai ilmu ( termasuklah ‘ilmu kebatinan’ – yang merupakan satu tradisi yang mesti ada pada raja-raja dahulu ) boleh ‘ tunduk ‘ kepada tuan syeikh yang datang untuk menyebarkan satu agama baru di masa itu ? .

 

Hampir semua pesilat Silat Kalimah percaya bahawa kisah raja itu tunduk kepada pujukan dakwah tuan syeikh itu selepas kalah di tangan syeikh itu . Kisahnya ringkas sahaja , suatu hari tuan syeikh itu masuk ke dalam istana baginda dan melihat baginda sedang meminum arak . Tuan syeikh itu menegur perbuatan baginda itu yang disamakan dengan “ perbuatan minum air kencing syaitan “ . Baginda pun murka lalu menyerang tuan syeikh yang menegur itu . Namun sia-sia sahaja tindakan baginda , semuanya tidak menjadi . Segala silat dan segala ilmu kebatinan yang baginda miliki tidak mampu mengalahkan tuan syeikh itu. Akhirnya baginda pun memeluk Islam dan kemudiannya diikuti oleh pembesar-pembesar kerajaannya di masa itu .

 

Rumusan paling utama dari “ cerita lisan “ yang diterima oleh generasi Silat Kalimah zaman-berzaman itu adalah : Tuan Syeikh Pendakwah itu berjaya mengalahkan Raja Kedah Tua dengan silatnya yang dikenali sebagai SILAT KALIMAH . Dan rentetan daripada kekalahan itu , Raja itu pun memeluk Islam dan mengembangkan Silat Kalimah itu secara tertutup untuk panglima-panglima istananya semata-mata sehinggalah ke zaman moden ; zaman Pak Yahya Said , barulah silat itu terbuka kepada golongan rakyat jelata “ . Begitulah kepercayaan para pesilat aliran ini hasil “ cerita lisan zaman-berzaman “ tersebut .

 

Mari kita kumpulkan kembali beberapa butiran penting dari “ cerita lisan “ itu dan kita renungi semula secara “ berlapang dada “ dan ditimbangi pula dengan ilmu yang jelas lagi sahih serta iman yang mendalam  :

 

A – Tuan Syeikh Pendakwah itu dikatakan namanya “ SYEIKH TAJREED “ ? . Siapakah sebenarnya beliau ?. Daripada manakah asal-usulnya ?. Apakah aliran / pegangan mazhabnya ? . Dan yang paling penting , apakah bukti-bukti bertulis ( sejarah ) yang sahih yang menyokong dakwaan “ cerita lisan “ itu ? .

 

B – Siapakah pula Raja Kerajaan Kedah Tua di masa berlakunya peristiwa itu ?. Adakah Raja Merong Mahawangsa I ? , Atau Raja Merong Mahawangsa II ? , Ataupun keturunan selepas itu yang dikenali sebagai Phra Ong ( Maharaja ) Dhurbar Raja II ? .

 

C – Benarkah SILAT KALIMAH itu sendiri sememangnya diasaskan oleh Tuan Syeikh Tajreed ?. dan dengan silat itu jugalah tuan syeikh itu dapat mematahkan silat-silat dan ilmu-ilmu kebatinan yang dimiliki oleh Raja Kedah Tua tersebut ? . Dan kemudiannya silat itulah dinobatkan menjadi “ Silat Istana Kedah “ dan hanya diwarisi oleh golongan panglima istana sehinggalah ke zaman Panglima Tok Rasyid yang kemudiannya mengajarkan “ Silat Istana “ itu kepada orang awam iaitu ; anaknya sendiri yang bernama Bidin dan anak angkatnya yang bernama Yahya bin Said ? .

 

D – Dan adakah SILAT KALIMAH yang dilihat sekarang serupa ( termasuklah silibus pelajarannya ) dengan zaman dahulu ? . Jika ya , adakah ia memang begitu di zaman hidupnya Syeikh Tajreed itu lagi ? .

 

Dalam bahasa lain : “ Adakah Silat Kalimah yang digayakan dengan rupa bentuk Silat Melayu itu ( walaupun ada juga pesilat-pesilatnya lebih senang menggayakan dengan bentuk meniru gaya orang Jepun mempersembahkan Seni Beladiri mereka ) itu benar-benar ciptaan Tuan Syeikh yang datangnya bukan dari Tanah Melayu sendiri ? .

 

Keempat-empat soalan di atas itu diajukan kepada pesilat Silat Kalimah keseluruhannya : samada guru – jurulatih – pelajar , agar makin bersyukur dengan kelebihan ALLAH TA’ALA menerusi Silat Kalimah yang mereka warisi itu dan agar minda mereka lebih terbuka untuk menilai semula apa yang telah mereka warisi dan pegangi selama ini .

 

Dan yang lebih penting ke arah memerdekakan fikiran mereka agar tidak menjadi golongan yang hanya reti bersilat semata-mata , bahkan menjadi golongan yang cerdas akalnya – dalam renungannya – luas pandangannya – jauh wawasannya – kemas pegangannya dan benar hujahnya . Bukan menjadi golongan yang membudayakan sikap TAQLID BUTA ( Ikut buta-tuli tanpa usul-periksa ) yang akan melahirkan taksub dan jumud yang sudah pasti bertentangan sikap itu dengan Wahyu Pertama yang berbunyi : I Q R A K = Bacalah ! ( belajarlah ) !.

 

Tok guru silat adalah tok guru di dalam bidang silat , bukannya tok guru di dalam segala bidang dan lapangan ilmu pengetahuan yang menyebabkan murid-muridnya “ malu untuk bertanya atau hanya terpaksa “ menutup mulut “ daripada sebarang perbincangan dan muzakarah ilmiah yang kadang-kadang mungkin “ mengusik kembali “ pegangan dan kefahaman seseorang guru itu selama ini .

 

Insya-ALLAH akan bersambung .

 

 

Posted in INTIPATI SILAT KALIMAH, Pengenalan, SEJARAH, SILIBUS PELAJARAN | 4 Comments

(30) – LOGO KELAB SILAT KALIMAH (YAHYA SAID) UNTUK DIJUAL

(30) – LOGO KELAB SILAT KALIMAH (YAHYA SAID) UNTUK DIJUAL

 

 

 

“ Ya …. Mari , mari , mari . Mari beli Logo Sulam Kelab Silat Kalimah (Yahya Said) . Harga murah dengan reka bentuk menarik .

 

Belilah untuk diri sendiri , untuk anak-anak , untuk bakal isteri , untuk isteri dan untuk isteri-isteri ( He He He ! ) .

 

Boleh beli secara CCOD ( Cash ‘n Collect On Delivery ) atau mahu KIRIMAN POS EKSPRES , insya-ALLAH , semua boleh “ .

 

CCOD hanya terdapat di Gelanggang Pusat Kelab Silat Kalimah (Yahya Said) di Kg.Changkat – Taman Greenwood , Gombak , KL .

 

Secara KIRIMAN POS , sila hubungi ( sms / telefon ):

 

(1)      – Pak Jo : 019 – 281 0967

(2)      – Ust.  Jo : 019 – 215 6699

(3)      – Cikgu Fadzil : 014 – 263 325 / 017 – 679 3812

(4)      – Saudara Ahmad Zarin : 016 – 355 4544

 

Harga setiap satu hanyalah RM 15.00 dan jika dikirim secara POS , ditambah harganya RM 4.50 sahaja ( RM 15.00 + RM 4.50 = RM 19.50 ) .

 

Ini adalah di antara salah-satu projek PENGUMPULAN DANA EKONOMI KELAB SILAT KALIMAH (YAHYA SAID) selain daripada projek penerbitan DVD PENGENALAN SILIBUS PELAJARAN KELAB SILAT KALIMAH (YAHYA SAID) yang kini berada di tahap 70 peratus proses penyediaannya .

 

Sekian .

Posted in IKLAN SILAT KALIMAH, SEJARAH | 2 Comments

(29) – MESYUARAT A.J.K PENAJA KELAB SILAT KALIMAH (YAHYA SAID)

(29) – MESYUARAT A.J.K PENAJA KELAB SILAT KALIMAH (YAHYA SAID)

Alhamdulillah, pada Hari Sabtu lalu : 17. Zulqaedah. 1432 H / 15. Oktober. 2011 M ) , pukul 10.00 malam , Kelab Silat Kalimah ( Yahya Said ) telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penaja Kelab di rumah guru utamanya : Pak Jo .

Tujuan utama penubuhan Kelab ini secara rasminya adalah sebagai satu wadah utama anak-anak murid Pak Jo untuk mengembangkan Silat Kalimah (Yahya Said) sebagaimana didikan dan asuhan Pak Jo menerusi pendidikan – pengalaman – persahabatan – kajian & renungan yang diterima beliau “ di bawah tangan “ Allahyarham Pak Guru Yahya Said ( Pak Ya ) sendiri dan hasil doa – munajat beliau kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA selama ini .

Pada malam tersebut , banyak perkara yang telah diputuskan bersama di antara ahli-ahli kelab , di antaranya mengenai pemilihan Ahli-Ahli Jawatankuasa Penaja , Pendaftaran Kelab dengan Kementerian Belia dan Sukan , dan juga mengenai program-program yang akan dilaksanakan oleh kelab di masa akan datang.

Berikut adalah gambar-gambar yang memuatkan suasana mesyuarat pada malam tersebut dan keputusan yang diambil oleh pihak kelab.

Sekian.

Posted in IKLAN SILAT KALIMAH, SEJARAH | Leave a comment

GELANGGANG BARU DI TAMAN MELATI

GELANGGANG BARU DI TAMAN MELATI

 

Pepatah Inggeris ada menyebut : “ A Picture has a thousand words “ . ( Sekeping gambar punya banyak perkataan = ceritanya ) . Maka pada kali ini , Blog Kelab Silat Kalimah ( Yahya Said ) memaparkan laporan mengenai Pelancaran Gelanggang Baru Silat Kalimah ( Yahya Said ) di Taman Melati, Setapak , Kuala Lumpur pada Hari Jumaat 9. Zulqaedah. 1432 H / 6. Oktober. 2011 M yang lalu.

 

Gelanggang ini beralamat di : BLOK A5 , PANGSAPURI TAMAN MELATI , 53100 , SETAPAK , KUALA LUMPUR .

 

Jurulatih-Jurulatih yang mengawasi perjalanan latihan dan pengurusan gelanggang ini adalah mereka yang telah menamatkan silibus pelajaran Silat Kalimah secara langsung “ di bawah tangan “ Guru Utama Kelab ini : Pak Jo . Berikut ini adalah nama-nama mereka dan nombor-nombor telefon mereka untuk dihubungi :

 

Ustaz Mohd Amir Jumrah ( 017 – 234 8098 )

Cikgu Khairul Azmin @ Along ( 019 – 381 6806 )

Cikgu Husairi ( 012 – 590 0740 )

Cikgu Mohd Fadzli ( 012 – 340 9585 )

Cikgu Tariq Ziad ( 012 – 350 5047 )

 

Latihan diadakan pada setiap Hari Khamis dan Jumaat , mulai pukul 9.30 malam – 11.30 malam. Dan jangkamasa tamat Silibus Pelajaran I – III adalah selama 6 bulan , insya-ALLAH .

 

Semoga ia membuahkan hamba-hamba ALLAH TA’ALA yang bukan sahaja mampu menepis , mengelak dan menyerang lawan-lawan mereka bahkan mampu juga melahirkan generasi umat yang mampu menyambut segala iman dan taat serta menepis – menolak segala bentuk kufur dan maksiat .

 

Sekian.

 

 

 

Posted in IKLAN SILAT KALIMAH, Pengenalan, SEJARAH | Leave a comment

ROMBONGAN KE SELAMA & BATU KURAU

ROMBONGAN KE SELAMA & BATU KURAU

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat ALLAH TA’ALA, Kelab Silat Kalimah (Yahya Said) di bawah bimbingan dan pimpinan Pak Jo telah berjaya melaksanakan misi ziarah muhibbah dan tarbiyyah ke Selama dan Batu Kurau , Perak Darul Ridzuan pada Hari Sabtu 3. Zulqaedah. 1432 H / 1. Oktober. 2011 M yang lalu.

Niat untuk itu sebenarnya telah lama tersemat di dalam dada-dada kebanyakan ahli-ahli kelab tersebut , namun pada tarikh tersebut barulah ia ditakdirkan ALLAH TA’ALA menjadi kenyataan.

Peserta-peserta rombongan mula berkumpul di rumah Pak Jo sebelum pukul 12.00 tengah malam itu . Setelah cukup jumlah pesertanya ( 8 orang = 2 buah kereta ) , maka rombongan itu pun berangkat dengan izin ALLAH TA’ALA pada pukul 1.30 pagi.

Kereta pertama dipandu oleh tuannya ; Cikgu Fadzil Yassin ( Fadziel Selayang ) , sementara kereta kedua pula dipandu oleh tuannya ; Cikgu Amri ( Al-Hulm Al-aRaq ) .

Rombongan tiba di Masjid India , Bandar Taiping pada pukul 5.30 pagi . Rombongan segera bersiap-sedia untuk bersama-sama ahli qaryah untuk melaksanakan Solat Subuh Berjemaah di masjid yang bersejarah itu. Selepas Subuh, satu “ Majlis Ta’alim “ ( Majlis Ilmu ) diadakan dan ahli-ahli rombongan tetap setia mengikutinya walaupun tidak faham langsung apa yang disampaikannya ( disebabkan ia disampaikan di dalam Bahasa Tamil … Ha Ha Ha ! ). Memang ilmunya mungkin tidak kesampaian , tetapi fadhilat majlis ilmu dan zikir , pasti dapat dirasai bersama , insya-ALLAH .

Kemudian, rombongan bergegas menuju ke sebuah medan selera yang selalu disebut-sebut oleh penasihat kelab ; Al-Fadhil Ustaz Joraimi . Entah apalah yang menarik pada beliau. Mungkin disebabkan beliau biasa ke situ di zaman persekolahannya dahulu.

Dan nampaknya hajat Pak Jo kesampaian. Sebelum ini, Pak Jo sering menyebut mengenai “ Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang “ yang terkenal di Bandar Taiping yang bersejarah itu, dan kini hajatnya nampaknya kesampaian.

Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang , Roti Canai dan kueh-mueh menjadi “ sasaran serangan “ pesilat-pesilat dari Kuala Lumpur ini. Berselera sungguh mereka makan di pagi yang aman-damai itu.

Seterusnya, rombongan segera menuju ke destinasi pertama ; Pekan Selama , untuk menziarahi dan mewawancarai Al-Fadhil Tuan Guru Haji Ahmad Junaiddin ( Yang Dipertua Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat ) . Niat dan minat untuk menziarahi beliau bukan sahaja disebabkan beliau adalah seorang tuan guru yang menguasai selok-belok pengajian Islam semata-mata , malahan di dalam bidang kerohanian Islam dan Ilmu Metafizik Alam Nusantara Melayu ini.

Dan tambahan pula, beliau sendiri bersama-sama tuan gurunya : Allahyarham Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Othmani “ Pondok Lanai “ pernah menjadi Juri Bahagian Silsilah Silat di Pertandingan Silat Di-Raja yang dianjurkan sendiri oleh Almarhum Sultan Perak ketika itu ( tahun 1976 ) ; Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah . Bukan itu sahaja, malahan tuan guru yang sangat kita kasihi ; Allahyarham Pak Guru Yahya Said ( Pak Ya ) sendiri ketika itu menerima “ ijazah “ daripada Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin dengan dipantau oleh Allahyarham Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri . Itu semua menyebabkan ahli-ahli rombongan sendiri begitu bersemangat mahu mendengar “ secara langsung “ kisah itu daripada beliau.

Sebaik-sahaja tiba di destinasi yang dituju, rombongan disambut mesra oleh Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin sendiri di Rumah Rehat Pekan Selama. Dan wawancara pun dimulakan oleh penasihat kelab.

Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin “ mengupas “ soalan-soalan yang diajukan sekitar permasalahan-permasalahan “ Asal-Usul Bangsa Melayu dan hubungannya dengan Dakwah Islam “ , “ Peranan Syeikh ‘Abdullah al-Qumayri ar-Rifa’ie al-Qibrori RahimulLoh bersama-sama 11 orang sahabatnya mengembangkan Islam di Negeri Kedah Tua sehingga rahmat Islam itu bertebaran ke seluruh pelusuk Asia Tenggara “ , “ Kisah Syeikh ‘Abdullah mengislamkan Raja Kedah Tua ; Maharaja Durbar Raja II Phra Ong Mahawangsa dan hubungannya dengan kelahiran Silat Kalimah “ , “ Perbezaan di antara kuasa luar biasa yang lahir disebabkan oleh pertolongan ALLAH TA’ALA dengan mereka yang menggunakan perantaran jin-jin dan syaitan-syaitan terkutuk “ , “ Kisah Pak Ya menerima ijazah Silat Abjad (Asli) yang merupakan gerak amalan pusaka Almarhum Tok Kenali RahimahulLoh ; Wali ALLAH yang terkenal di Alam Melayu “ dan “ Kewajipan Mempertahankan Fahaman Ahlus Sunnah Wal Jama’ah dan Bahaya Ajaran Syiah yang sesat lagi menyesatkan “ .

Setelah puas dengan “ kupasan-kupasan ilmiah “ tersebut, ahli-ahli rombongan pun meminta izin untuk beredar dari majlis tersebut. Tambahan pula, Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin sendiri hendak memenuhi hajat rombongan lain yang datang dari Selatan Thailand yang turut sama menemuinya di situ.

Rombongan segera menuju ke Batu Kurau untuk menziarahi Al-Fadhil Tuan Imam Mohammad Zohdi Haji Yusuf ( Pak Di ) yang merupakan Guru Tonggak Utama Persatuan Silat Kalimah Yahya Said .

Sebaik sahaja sampai di Pekan Batu Kurau, rombongan terlebih dahulu menziarahi pusara Allahyarham Pak Guru Yahya Said dan anak tirinya ; Allahyarham Pak Mansur .

Telefon bimbit Pak Jo berdering kesekian kalinya. Nampaknya Pak Di sudah tidak sabar-sabar menanti kedatangan rombongan , khususnya sahabat lama seperguruannya ; Pak Jo.

Rombongan langsung menuju ke rumah Pak Di yang tidak jauh dari tanah perkuburan itu. Dan rombongan kali ini dipimpin oleh Cikgu Zuraimi Sitiawan yang dihantar khusus oleh Pak Di sebagai “ pemandu pelancong “ .

Pak Di menerima kehadiran rombongan dari Kuala Lumpur ini dengan begitu mesra selain daripada keluarganya dan murid-muridnya yang datang dari Sitiawan dan Ipoh.

Perbincangan dengan Pak Di pun dimulai oleh rombongan. Topik perbincangan bersangkutan dengan hal-ehwal organisasi Persatuan Silat Kalimah Yahya Said , Kisah-kisah menarik di zaman awal perkembangan Silat Kalimah di bawah didikan Allahyarham Pak Ya sendiri , Pengkhianatan mereka yang terbabit dengan Ajaran Syiah terhadap Teras Kekuatan Silat Kalimah ; Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah , dan aktiviti-aktiviti masa hadapan .

Yang menariknya lagi adalah kisah daerah Batu Kurau yang menjadi destinasi para pendekar , khususnya yang terlibat di dalam aliran silat seperti Seni Gayung Fatani ( yang dikembangkan di situ oleh Allahyarham Pak Imam Mansor dan juga Pak Long Mat Haji ) dan Silat Kalimah ( yang dikembangkan sendiri oleh Allahyarham Pak Ya , Allahyarham Pak Mansur , Allahyarham Ustaz Affendi dan Pak Di sendiri ) .  Dan topik ini menjadi lebih menarik disebabkan penasihat kelab sendiri pernah menetap di Batu Kurau dan diasuh mendalami Seni Gayung Fatani di bawah didikan Pak Long Mat Haji.

Dan satu lagi topik yang tidak diperbincangkan namun ia tetap diakui ramai ialah keistimewaan daerah Batu Kurau adalah disebabkan oleh kerana ramai anak-anak gadisnya yang cantik dan menarik. He He He ! .

Selepas wawancara, semua dihidangkan dengan jamuan laksa oleh “ keluarga baru “ Pak Di dan selepas itu rombongan pun mengambil peluang bergambar kenangan bersama-sama beliau dan murid-murid beliau.

Tiba-tiba Pak Jo bersuara kepada sahabat lamanya ; Pak Di : “ Eh, hang takkan pakai baju pagoda putih ja nak bergambar ni ? “.

Apa lagi, Pak Di pun segera disuakan Baju Melayu Putihnya dan Pak Jo pun segera membantu sahabat baiknya ini mengenakan baju tersebut.

Sesi bergambar pun bermula dan berakhir dengan ceria. Dan rombongan pun memohon izin untuk segera pulang ke Kuala Lumpur sebelum waktu Maghrib menjelang tiba.

Sebenarnya , terlalu banyak kisah dan pengalaman yang manis lagi menarik sepanjang perjalanan rombongan ini. Namun sekadar itulah sahaja yang mampu diterjemahkan di sini buat masa ini.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua yang menjayakan rombongan kali ini, khususnya kepada Al-Fadhil Tuan Guru Ahmad Junaidin ‘ Silat Abjad ‘ , Al-Fadhil Pak Zohdi dan juga guru utama Kelab Silat Kalimah (Yahya Said) ; Al-Fadhil Pak Jo serta sahabat-sahabat dari Persatuan Silat Kalimah Yahya Said Cawangan Ipoh dan Manjung .

Insya-ALLAH , ziarah seperti ini akan berulang lagi. Keenakan ilmu sama dapat ditimba, kemanisan ukhuwwah dapat sama dikecapi dan dipertautkan dan kemantapan Aqidah Islam semakin dapat diperteguhkan serta segala Ajaran Sesat – Syirik – Bid’ah Dholalah – Murtad dapat sama-sama diperangi dengan segala upaya dan cara.

Sekian.

 

Posted in IKLAN SILAT KALIMAH, Pengenalan, SEJARAH | Leave a comment