PAK JO : “AKU BUKAN PENDEKAR” ADALAH PENYEBAB SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH DINILAI SEMULA

PAK JO : “AKU BUKAN PENDEKAR” ADALAH PENYEBAB SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH DINILAI SEMULA

Allahyarham Pak Guru Yahya Said ( Pak Ya ) adalah seorang guru Silat yang dianggap “mudah berbahasa” (toleransi), lebih mementingkan nilai persahabatan dan suka menghiburkan hati orang yang bergaul dengannya. Sikap “tak ambil kisah” dengan apa yang dilakukan orang terhadap dirinya dan suka mengiyakan apa sahaja pandangan sahabat-handai dan murid-muridnya juga adalah salah-satu sikap yang ada pada Allahyarham. Apatah lagi sikap merendah diri dan tidak suka menonjolkan diri ( low profile ) sememangnya telah sebati dengan jiwa-raga beliau. Panggilan yang beliau senangi dari kalangan sahabat-handai dan murid-muridnya adalah “ Pak Ya “ dan bukannya dipanggil “ Pak Guru “, apatah lagi untuk dipanggil sebagai “ Mahaguru “.

Tidak hairanlah mengapa ada di antara murid-murid beliau yang sanggup berkelakuan “naik tocang” atau “lebih sudu dari kuah” . Ada pula yang sanggup menamakan beliau sebagai “ Pemegang Amanah “ sahaja dan tidak pula dianggap “ Guru “. Di antara murid-murid beliau seperti itu adalah Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad ; pengasas Silat Cekak. Topik ini akan dibincangkan dengan lebih panjang-lebar di masa akan datang, insya-ALLAH.

Pak Ya selalu mengatakan : “ Kita kena buat apa yang orang suka “ (maksudnya kita mesti selalu jadikan orang ceria dan gembira). Namun kata-kata itu disanggah oleh salah-seorang sahabat rapatnya yang turut belajar Silat Kalimah daripadanya iaitu Pak Jo. Pak Jo pernah berhujah dengan gurunya itu mengenai kata-kata di atas. Kata Pak Jo : “ Pak Ya kita tak boleh buat begitu. Manusia itu sendiri kadang-kadang tak tahu apa yang sepatutnya dia suka. Bahkan sepatutnya kita kena beritahu kepada manusia bahawa mereka mestilah buat apa yang menyebabkan ALLAH dan Rasul-NYA suka “. Pak Ya pun terdiam mendengar hujah Pak Jo dan tidak pula membantahnya.

Sikap Pak Ya yang suka “mengiyakan kehendak orang lain” juga menyebabkan silibus pelajaran Silat Kalimah menjadi berbagai rupa mengikut setiap orang yang mengembangkannya. Bagi Pak Ya, tidak mengapalah begitu asalkan orang itu bahagia dengan caranya.

Pak Jo pula tidak begitu sikapnya. Bagi beliau, setiap silibus dan kaedah pengajaran Silat Kalimah mestilah terperinci satu persatu dan mestilah semuanya boleh dikaitkan dengan “ konsep pertempuran yang sebenar “ dan boleh pula ia dikaitkan dengan silibus pelajaran Silat Kalimah. “Jangan belajar lain tapi pakai lain “ atau “ Belajar silat tapi bergaduh macam koboi “ itulah maksud Pak Jo.

Bukan sekadar itu, bahkan Pak Jo sering berkata : “ Tok guru silat selain saya adalah pendekar. Mereka sendiri kuasai dua-tiga macam silat. Kalau sesuatu silat itu tidak boleh mereka gunakan di dalam pertempuran (pergaduhan) , mereka dapat gunakan pula silat lain. Sedangkan saya ini, siapalah saya ?. Saya bukanlah pendekar dan tidak pula menguasai dua-tiga silat. Silat Gayong Dato’ Meor Rahman saya pelajari hanya 14 hari. Tomoi Siam saya belajar pun 1 malam sahaja. Yang ada pada saya hanyalah Silat Kalimah ini. Jadi, bagaimanakah dapat saya buktikan kepada diri saya sendiri dan orang lain bahawa Silat Kalimah ini dapat menyebabkan kita selamat atau menang di dalam sesebuah pergaduhan ? “.

Bertitik-tolak dari situ, Pak Jo sering memikirkan dengan sedalam-dalamnya setiap pelajaran Silat Kalimah yang telah beliau terima dari gurunya ; Pak Ya. Dibandingkan pula dengan teknik-teknik yang diguna-pakai oleh sahabat-sahabat seperguruannya ; Pak Zohdi (Pak Di), Allahyarham Pak Muslim, Cikgu Yusuf (“sparring partner” Pak Jo yang kemudiannya mengasaskan “Silat Solat” di Langkawi ), Allahyarham Cikgu Mid Landak , Allahyarham Cikgu Azmi Long dan adiknya ; Allahyarham Cikgu Redzuan Long, Cikgu Mazlan Man (pengasas PIKUM) dan juga Cikgu Poi (sekarang sebagai Guru Utama Persatuan Silat Kalimah Malaysia di Kedah).

“Saya hanyalah manusia biasa. Saya bukanlah pendekar. Yang ada pada diri saya hanyalah Silat Kalimah. Saya bukanlah “Body-builder” , “Boxer” dan bukanlah pula “Ex-Army”. Begitulah kata-kata Pak Jo apabila dibandingkan dirinya dengan sahabat-sahabatnya tersebut. “Tapi kalau terpaksa berlawan, saya nak diri saya selamat ataupun menang “ , kata Pak Jo lagi.

Tidak cukup dengan menilai semula semua isi pelajaran dan silibus Silat Kalimah, bahkan Pak Jo juga sering memohon dan bermunajat ke hadrat ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA agar diberikan kefahaman yang benar mengenai rupa-bentuk dan isi-isi Silat Kalimah yang sebenar-benarnya. Biarlah apa yang dikurniakan ALLAH itu mendalam huraiannya, tepat dengan segala tindak-tanduk yang dilaksanakannya dan tidak pula keluar dari norma-norma kebiasaan seorang manusia biasa (fitrah).

Akhirnya, wujudlah rumusan-rumusan dan formula-formula hasil kurniaan rahmat ALLAH menerusi kefahaman mengenai Islam dan Silat Kalimah kepada Pak Jo. Kemudian, hal itu dibawa pula ke dalam perbincangan sesama murid-muridnya yang menganggotai “ Dewan Perguruan & Kejurulatihan “. Jika ada yang dianggap kurang, akan ditambah. Yang buruk, diperindahkan. Yang tidak sepadan dengan syariat Islam, akan diubah-suai hingga sesuai dengan kehendak ajaran agama Islam. Maka keputusan yang lahir dari perbincangan-perbincangan dan latihan-latihan itu akan dijadikan silibus untuk gelanggang-gelanggang yang berada di bawah pengawasan Pak Jo. Kata Pak Jo mengenai hal itu : “ Silat Kalimah ini bukanlah hak saya ataupun hak Pak Ya. Ia adalah hak kita semua yang mempelajarinya. Sebab itu saya bawa ke tengah untuk diperbahaskan dan diuji serta dinilai semula keampuhan dan manfaatnya “.

Pernahkah anda bertemu dengan seorang guru silat yang sanggup teknik-tekniknya dikritik oleh murid-muridnya sendiri ?. Bahkan sanggup pula mengikut cadangan dan pandangan murid-muridnya bahkan orang lain apabila dirasakan itu adalah tepat dengan kehendak Islam dan pegangan serta pelajaran Silat Kalimah.

Kebanyakan guru silat hanya beranggapan bahawa apa yang pada dirinya itulah yang terbaik dan tidak pula boleh dinilai-semula apatah lagi dikritik. Tetapi hal itu tidak ada pada guru kami ini; Pak Jo.

Maka inilah jawapan apabila kami disoal : “ Mengapakah Pak Jo mengubah-semula isi-isi pelajaran dan silibus pengajian Silat Kalimah yang telah sedia ada ? ”.

Yang tidak boleh diubah hanyalah hukum-hakam yang muktamad dari ALLAH dan RASUL-NYA SAW. Selain itu semuanya boleh diubah dan dibaiki dan dipertingkatkan menjadi lebih baik, lebih bernas dan lebih ilmiah.

Insya-ALLAH akan menyusul tidak lama lagi tulisan kami yang bertajuk : APAKAH ISI SILIBUS PELAJARAN & TEKNIK SILAT KALIMAH YANG DIUBAH-SUAI DAN DIPERBAIKI OLEH PAK JO ? .

Sekian.

About Kelab Silat Kalimah (Yahya Said)

The blog for everybody especially for Pak Jauhari's students & lovers.
This entry was posted in INTIPATI SILAT KALIMAH, Pengenalan, SILIBUS PELAJARAN. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s