SUASANA GELANGGANG SILAT KALIMAH (YAHYA SAID) DI BAWAH ASUHAN & DIDIKAN PAK JO

SUASANA GELANGGANG SILAT KALIMAH   (YAHYA SAID) DI BAWAH ASUHAN & DIDIKAN PAK JO

Semenjak Pak Jo berpindah dari Desa Mukmin, Gombak ke Kg. Changkat (bersebelahan Taman Greenwood, Gombak), latihan Silat Kalimah tetap diteruskan.

Gelanggangnya terletak di kawasan berhadapan dengan rumah Pak Jo di sana. Lantainya rumput dan pasir manakala atapnya pula adalah awan mega. Kelilingnya adalah pokok-pokok (kebanyakannya pokok durian) dan rumah jiran-tetangga. Apabila hujan turun, kawasan itu akan bertukar menjadi lopak dan kubang.

Pak Jo selalu teringat akan pesanan gurunya ; Allahyarham Pak Guru Yahya Said (Pak Ya) yang menyebut : “ Jika perlu mengadap lawan, usahlah di atas tanah. Kerana kebanyakan lawan menggunakan ‘Jembalang (Jin) Tanah “. Pesannya lagi : “ Sebaik-baik tempat berlatih silat adalah tempat yang kita selesa mendirikan solat dan sujud di situ “.

Dua pesanan itu bukan sahaja agar berwaspada terhadap golongan pesilat yang menggunakan ‘JIN’ sebagai ‘tumpangan’nya, bahkan dengan adanya tempat yang bersih lagi suci maka pesilat-pesilat dapat melaksanakan solat di situ. Lagipun dengan keadaan yang bersih lagi suci itu, pesilat-pesilat tidak akan berasa ‘malas’ kerana pakaian dan tubuh mereka tidak akan kotor.

Apakah perlu lantainya dilapik pula dengan ‘permaidani tebal’ atau ‘getah tebal’ agar tubuh-badan para pesilat tidak sakit apabila terpaksa ‘rebah ke bumi’ ?. Pak Jo pula menjawab : “ Tidak perlu !. Itu akan lebih menyebabkan para pesilat lebih beraksi seumpama ahli gusti (wrestler). Cukuplah lantai keras berlapikkan tikar getah yang nipis yang mampu melapik tubuh-badan kita dari menjadi kotor “.

Itulah suasana gelanggang yang diimpikan oleh Pak Jo kerana kebanyakan latihan yang beliau lalui bersama-sama guru kesayangannya ; Pak Ya adalah di dalam rumah Pak Ya sendiri dan bukannya di depan halaman rumahnya ataupun di atas rumput atau pasir.

Alhamdulillah, niat beliau itu dapat ‘ditangkap’ oleh murid-muridnya di waktu itu. Dengan usaha dan doa kehadrat ILAHI, wang ringgit dapat dikumpul dengan segera untuk didirikan GELANGGANG BERATAP ZINK, BERLANTAI SIMEN, BERLAPIK TIKAR GETAH, LENGKAP DENGAN KEPERLUAN LAMPU DAN KIPAS SERTA BILIK AIR KHUSUS. Tidak cukup dengan itu, murid-murid beliau sendiri bersama-sama dengan Pak Jo, anak-anaknya dan menantunya juga bergotong-royong mendirikan gelanggang (bangsal) Silat Kalimah di situ.

Syukur, di situlah akhirnya kami dapat berlatih silat, dapat solat berjemaah bersama dan juga sebagai dewan mesyuarat kelab Silat Kalimah. Masa latihan pula bergantung kepada “kelapangan masa” di antara kedua-dua belah pihak, Pak Jo selaku guru dan orang yang berhajat selaku murid.

Pak Jo juga lebih mementingkan melatih para pesilat dalam jumlah yang kecil. Ini agar setiap muridnya dapat merasai ‘personal touching’ dari Pak Jo. Malahan kualiti latihan dan hasilnya lebih terkawal. Paling sedikit yang diizinkan berlatih adalah dua orang dan paling ramai pun lapan orang di dalam satu-satu masa.

Papan putih (whiteboard) juga disediakan. Di situlah Pak Jo akan menulis beberapa pesanan-petua-kaedah-jadual yang dikongsikan bersama murid-muridnya. Di situ jugalah segala ilham daripada ALLAH TA’ALA akan Pak Jo coretkan. Sesuai dengan pepatah Arab yang biasa menyebut (mafhumnya) : “ Ilmu itu ibarat binatang buruan dan menulis itu adalah perangkapnya. Maka perangkaplah ilmu itu dengan menulis “.

Kefahaman mengenai Silat Kalimah disampaikan di gelanggangnya itu melalui latihan – lisan – tulisan. Bukan itu sahaja, malah setiap pelajar selalu diingatkan agar : “ Belajarlah Silat Kalimah dengan niat untuk mengembangkannya ! . Bukan sekadar untuk ‘pakai sendiri’ . Dengan itu ilmu kita akan semakin berkembang dan lebih maju “.

Di antara keunikan yang ada pada beliau adalah setiap muridnya berhak bertanya dan mempersoalkan setiap pelajaran dan teknik yang beliau sampaikan. Jika ada kekurangan dan kelemahan, maka Pak Jo sendiri akan meminta murid-muridnya itu memberikan cadangan – saranan – idea untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan itu. Cadangan itu pula akan dibawa ke perbincangan sesama ahli ‘Dewan Perguruan & Kejurulatihan’ agar setiap pelajaran itu lebih menepati dengan keaslian dan falsafah-petua Silat Kalimah dan lebih menghampiri kepada realiti suasana pertempuran (pergaduhan) yang sebenar. Inilah yang dikehendaki oleh kata-kata yang biasa disampaikan oleh guru-guru Silat Kalimah sebelum ini : “ Berlapik berlantai , bentang tikar tiga helai. Seorang cerdik, seorang pandai, seorang juara di tengah balai. Barulah semua kerja tidak terbengkalai “.

Selesai sahaja latihan. Pak Jo akan menyampaikan nasihat-nasihatnya kepada semua yang hadir di dalam bentuk “bersembang-sembang” bersama-sama hidangan ringan yang disediakan. Biasanya ‘Kopi Aceh’ atau ‘Kopi Tenom’ bersama-sama sedikit biskut atau kueh-mueh akan disajikan sebagai ‘alas perut’ kepada murid-murid beliau.

Itulah sedikit-sebanyak gambaran gelanggang kami. Tiada ‘gap’ (jurang pemisah) antara kami sebagai murid-murid Pak Jo dengan beliau sebagai guru silat kami. Suasana kekeluargaan dan sahabat-handai lebih ditekankan berbanding suasana pelajar yang hanya mengangguk-angguk kepala tanpa berani bersoal-jawab dengan gurunya. Itulah juga suasana yang Pak Jo lalui bersama-sama gurunya tercinta ; Pak Ya yang selalu beliau sebut-sebut : “ Saya ni lebih banyak bersahabat dengan Pak Ya dari berupa seseorang murid kepadanya. Dan itu tidak mengurangkan sedikitpun rasa hormat dan sayang saya kepada Pak Ya selaku guru dan sahabat baik saya “ .

Dan bukankah begitu juga bentuk tarbiyyah yang Baginda Rasulullah SAW asuh dan didik murid-muridnya hinggakan mereka semua itu digelar “SAHABAT” (RadhiyalLahu ‘anhum ‘ajma’ien) ?.

Sekian. Semoga segala kebaikan itu dapat dicontohi dan segala kekurangan itu dapat diperbaiki dari masa ke semasa.

About Kelab Silat Kalimah (Yahya Said)

The blog for everybody especially for Pak Jauhari's students & lovers.
This entry was posted in IKLAN SILAT KALIMAH, Pengenalan, RENUNGAN, SEJARAH. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s