KISAH AWAL PAK YA MENGEMBANGKAN SILAT KALIMAH & SIAPAKAH BERSAMA-SAMANYA ?

KISAH AWAL PAK YA MENGEMBANGKAN SILAT KALIMAH & SIAPAKAH BERSAMA-SAMANYA ?

 

Allahyarham Pak Guru Yahya Said ( Pak Ya ) terus menetap di Batu Kurau, Perak, selepas sahaja menamatkan perkhidmatannya ( pencen ) sebagai seorang anggota polis. Beliau hidup di situ bersama-sama isterinya ; Mak Teh dan anak tirinya ; Allahyarham Mansur ( Pak Mansur ). Menjual ubat-ubatan tradisional merupakan bidang pekerjaannya di zaman pencen. Kadang-kadang di pekan Batu Kurau dan di beberapa tempat di Negeri Perak Darul Redzuan dan kadang-kadang di luar negeri Perak ( biasanya di Kuala Lumpur, Sg. Petani , Alor Setar dan Kota Bharu ).

Suatu hari, Pak Ya didatangi oleh rakan baiknya. Hajatnya untuk menangkap seseorang samseng yang berada di kawasan Batu Kurau. “ Tak payahlah !. Di sini tempat ‘orang terbuang’ (buang daerah) dan banyak pula samseng serta tok-tok guru silat “ , nasihat Pak Ya kepada rakannya itu. Nasihat itu sepatutnya diterimanya kerana Pak Ya sendiri adalah bekas anggota polis yang berkhidmat lama di situ dan sudah tentu beliau lebih mengetahui akan persekitarannya itu. Namun, rakan Pak Ya tetap nekad dengan keputusannya itu.

‘Baiklah, kalau hang (kamu) tetap berkeras mahu menangkapnya, hang mai (mari) try (cuba) dengan aku dulu. Aku ni kira paling lekeh di kalangan depa (mereka) tu’ . Rakan Pak Ya itu pun ‘memasang langkahnya’ lalu menyerang Pak Ya dan keputusannya, rakannya itu kalah di dalam ujian percubaan itu.

Kejadian itu rupa-rupanya disaksikan oleh seseorang penduduk sekitar di waktu itu. Dan berita ‘kemenangan’ Pak Ya itu pun disebarkan di kebanyakan kawasan di Batu Kurau dan semenjak itu Pak Ya menjadi ‘buruan’ para pencinta Seni Silat. ‘Menjadi’ rupa-rupanya ilmu silat yang dituntut oleh Pak Ya dari tangan Allahyarham gurunya ; Panglima Tok Rashid bersama-sama anak kandung Tok Rashid yang bernama Bidin selama 3 tahun.

Ke mana pun Pak Ya pergi, akan ada mata yang tertumpu kepadanya. Anak-anak muda sanggup ‘mengayuh basikal’ mengikut beliau ke mana sahaja beliau tujui semata-mata untuk mengenal dengan lebih dekat siapakah ‘orang tua pencen’ yang namanya baru harum mekar itu.

Seorang guru silat di situ yang digelar ‘PANGLIMA’ pun turut tertarik untuk mengenali Pak Ya dengan lebih dekat. Kalau boleh dia pun mahu menguji sejauh mana kemahiran Pak Ya bersilat. ‘Dipukul canang’ ke seluruh pelosok daerah Batu Kurau bahawa ‘panglima’ ini mencabar Pak Ya bertarung ‘one by one’.

Berita ini pun sampai ke telinga Pak Ya. “Daripada dia mai (mari) kat (pada) ku, lebih aku pi (pergi) kat dia. Dah dia berhajat sangat nampaknya “ ; kata hati Pak Ya.

Pada pagi itu, Pak Ya bersiap-siap mengenakan songkok hitam di kepalanya, berbaju kemeja dan berkain sarung (pelikat). Basikalnya pun dikayuh menuju ke rumah ‘Panglima’ itu. Beberapa biji kueh pau pun turut sama dibawanya tergantung di ‘handle’ basikal itu.

Melihat kelibat Pak Ya menuju ke rumah ‘Panglima’ itu maka riuhlah beberapa penduduk sekitar dan masing-masing turut sama ke rumah ‘Panglima’ itu untuk menyaksikan satu ‘sayembara’ (pertarungan) yang bakal berlaku sebagai mana di dalam fikiran mereka selama ini.

Sesampai sahaja ke rumah ‘Panglima’ itu, Pak Ya pun melaung dan memanggilnya. ‘Panglima’ pun ‘menonggol’ (muncul) di depan pintu rumahnya dan bertanya : “ La , hang (kamu) ka ?. Awat (kenapa) mai (datang) sini ? “.

Pak Ya pun menjawab : “ Dah aku dengaq (dengar) hang (kamu) dok sebut-sebut nama aku, aku pun mai (datang) lah “.

“ Ni ada kueh pau, hang ambik bagi kat (kepada) anak-bini hang makan. Mai (marilah) kita turun ke gelanggang depan rumah hang ni “ , ujar Pak Ya lagi.

‘Panglima’ pun turun ke gelanggang yang terletak di hadapan rumahnya. Gelanggangnya dibuat secara tradisional. Berdindingkan daun-daun nipah dan di sebelahnya ada sungai kecil yang jernih airnya.

Pak Ya dan ‘Panglima’ sudah siap dengan ‘sikap pasang’ masing-masing. “ Hang nak serang dulu ka atau aku ? “ ; tanya Pak Ya kepada ‘Panglima’ .

“Hang lah serang dulu” ; jawab ‘Panglima’ . Lalu Pak Ya pun mula menyerang dan sebaik-sahaja tangan beliau bersentuhan dengan tangan ‘Panglima’ , Pak Ya langsung ‘potong’ (makan balik) pergerakan ‘Panglima’ dan ‘Panglima’ jatuh kalah. “ Tu aku pakai peringkat kedua silat aku “ , tutur Pak Ya kepada ‘Panglima’.

“ La ni (sekarang), hang pulak serang aku dan aku sambut “ ; minta Pak Ya. ‘Panglima’ pula menyerang Pak Ya dan akhirnya tersungkur jatuh sekali lagi dek penangan Pak Ya. “Hak ni (yang ini) peringkat pertama silat aku” ; terang Pak Ya kepada ‘Panglima’ tanpa Pak Ya ambil peduli adakah ‘Panglima’ itu tahu apakah jenis silat yang digunakan oleh Pak Ya dan apakah pula isi-isi pelajaran silat Pak Ya itu.

“ Sekarang ni, hang serang aku sekali lagi dan gunakanlah segala kepandaian hang untuk kalahkan aku “ ; kata Pak Ya kepada ‘Panglima’ itu. ‘Panglima’ itu pun akur dan menyerang sekali lagi. Pak Ya pun bertindak ‘menyambut’ serangan itu dan akhirnya ‘Panglima’ itu tercampak melanggar dinding gelanggangnya itu lalu masuk ke dalam sungai kecil di tepi gelanggang itu.

Peristiwa itu rupa-rupanya dilihat secara ‘intai-intai’ (intip) oleh beberapa individu yang mengekori Pak Ya semenjak tadi. Lalu peristiwa itu pun ‘heboh’ diceritakan oleh penduduk sekitar dan nama Pak Ya pun semakin ‘top’.

Semenjak itu, beberapa penduduk sekitar pun meminta Pak Ya mengajar silat kepada mereka dan Pak Ya pun menunaikan hajat mereka itu. Bermulalah satu lembaran sejarah baru di dalam kehidupan Pak Ya. Di saat itu ( tahun 1962) dua belas (12) orang diterima sebagai murid-muridnya sebagai ‘angkatan sulung’ secara rasmi.

Memang Pak Ya sebelum ini biasa juga mengajar silat kepada rakan-rakannya yang sama-sama menjual ubat-ubatan tradisional. Tetapi caranya lebih kepada ‘menunjuk sedikit-sebanyak kepada kawan-kawan’ berbanding ‘menerima sebagai anak-anak murid secara rasmi (diijazahkan)’.

Sebelum tahun 1962 itu, Pak Ya hanya mengajar secara ‘sebiji-dua biji buah’ kepada kawan-kawan rapatnya. Mengajar secara ‘berkawan’ dan ‘secara tidak rasmi’.

Pada tahun 1938, Pak Ya pun pernah mengajar Silat Kalimah ini kepada para pemuda di Batu Kurau. Di antaranya ialah Haji Awang Salleh, Harun Haji Hussein, Md. Daud Tok Sujak dan Haji Baharin Haji Ludin dan ramai lagi. Pada tahun 1942, Yusof Misai dari Bagan Serai, Perak juga telah mempelajari Silat Kalimah ini.

Ada juga seorang kawan baik Pak Ya berhajat benar mahu mempelajari Silat Kalimah. Beliau kelihatan sangat bersungguh untuk belajar. Katanya : “ Abang Ya, ni aku bagi kat hang (kamu) RM (Ringgit Malaysia) 300 dan hang mesti ajar aku dalam masa 6 hari “. RM 300 di waktu itu adalah jumlah yang besar, lebih-kurang RM3000 (Tiga Ribu) pada hari ini.  Apakah yang dapat dipelajari dalam masa 6 hari sahaja ?. Namun demi menyempurnakan ‘hajat’ temannya itu, Pak Ya pun akur dengan hajatnya itu.

Setelah selesai 6 hari, Pak Ya pun bertanya kerana hairan dengan kesungguhan kawannya itu. Barulah kawannya itu menjelaskan niat sebenarnya belajar Silat Kalimah itu, mahu membalas dendam katanya.

Pak Ya pun menyatakan : “ Yang aku bagi kat hang tu sebenarnya tak boleh pakai pun untuk hang berhadapan dengan musuh hang tu. Sebab itu (pelajaran) peringkat pertama. Kalau hang nak-nak (berkehendak) juga pakai (guna) hang kena buat begini……. Mula-mula hang sampai ja dengan dia hang kena meludah depan dia (hadapannya). Pastu (Selepas itu) hang kena cabar dia dengan kata (berkata) yang hang tak heran (tak takut) dengannya. Bila (apabila) dia geram, tentu dia akan serang hang. Dan waktu tu (ketika itu) barulah buah-buah yang aku ajaq (ajar) hang tu laku (bernilai = dapat diguna-pakai) “.

Pada tahun 1949, Pak Ya telah menamatkan tugasnya sebagai anggota polis. Beliau mula aktif ke seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia sebagai penjual ubat-ubatan tradisional. Pada masa itulah, Pak Ya berkenalan dengan Yahya Abdullah @Yahya Masulin, Said Ali Abas, Pak Sawir Labeh, Haji Abu Malik dan Pak Mansor (yang kemudiannya menjadi anak tiri beliau) .

Jadi, semua yang datang belajar Silat Kalimah dari Pak Ya sebelum  tahun 1962 itu adalah secara ‘kawan-kawan’ dan ‘tunjuk sebiji-dua dan ‘ bukan secara rasmi dan diijazahkan’.

‘Diijazahkan’ artinya menerima sebagai anak murid secara rasmi. Dimulai dengan penerangan ringkas mengenai silsilah dan konsep Silat Kalimah. Duduk ‘berlaga lutut’ di antara guru dengan murid di atas kain putih. Diikuti pula oleh bacaan dua kalimah syahadah, selawat, doa dan ikrar. Disertakan juga dengan ‘pengeras’ (mahar) untuk belajar sebanyak RM (Ringgit Malaysia) 10.33 sen dan sebilah ‘pisau lipat’. (Insya-ALLAH nanti akan diterangkan kemudian di dalam tulisan lain mengapakah begitu ‘pengeras’nya).

12 orang murid-muridnya itu pun memulai latihan Silat Kalimah di halaman rumah Pak Ya. Setiap orang dari mereka diminta untuk membawa “sebekas tali” untuk latihan akan datang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Apabila hari kemudiannya menyusul, mereka (murid-murid) itu pun terkejut kerana di halaman rumah Pak Ya telah terpacak beberapa tiang kayu (bukan papan sekeping). Setiap anak murid ditambat (diikat) ke tiang tersebut dan mesti bersedia ‘menyambut serangan’ dari Pak Ya ke atas mereka. Inilah tradisi pendidikan Silat Kalimah di peringkat asas.

“ Awat (mengapa) Pak Ya tambat (ikat) depa (mereka) ke tiang ? “ ; soalan yang pernah ditanya kepada Pak Ya oleh muridnya kemudiannya apabila Pak Ya menceritakan kembali detik-detik ini. Pak Ya menjawabnya : “Hang bukan tak tau, Batu Kurau tu tempat ramai orang pandai-pandai silat. Depa pun serba-sedikit pun dah memang pendekaq (pendekar). Kalau aku tak tambat depa ke tiang tu, dah tentu depa akan lari dan tidak akan sambut serangan aku. Bila dah jadi macam tu (sebegitu), bila nak timbul pelajaran dan keberanian depa ? “.

Selepas beberapa hari murid-murid itu dididik di ‘tiang-tiang’ yang dipacakkan di halaman rumah Pak Ya, beliau pun menukar ‘pendekatan pendidikannya’ dengan menjadikan ‘papan sekeping’ pula sebagai medan latihan yang baru.

Setiap anak murid perlu pula ‘menyambut serangan’ Pak Ya di atas papan sekeping. Papan sekeping di kala itu adalah sekeping papan kayu yang lebarnya tidak lebih dari 12 inci. Di bawahnya pula dilapik dengan beberapa ketulan kayu tebal agar papan itu tidak ‘melendut’ (bengkok) mencecah tanah. (Apakah pengertian sebenar  ‘Silat Kalimah adalah Silat Papan Sekeping’ juga akan dijelaskan nanti di dalam tulisan yang akan datang, insya-ALLAH).

Siapakah yang sanggup tetap berdiri di atas papan sekeping itu dan menyambut serangan Pak Ya ?. Pak Ya menceritakan lagi dengan katanya : “ Elok saja (sebaik sahaja) depa (mereka) tinggalkan tiang tu dan berdiri atas papan sekeping, habis semua lari dan mengelak serangan aku. Hilang semua pelajaran yang depa terima (di) masa depa kena tambat di tiang tu “ ; rungut Pak Ya.

Selepas selesai cara latihan seperti itu, mereka pun “dimandikan” (mandi hayat peringkat 1) dan diminta pula untuk berlatih di dalam rumah Pak Ya sendiri dan tidak lagi di halaman depan rumah Pak Ya.

Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Akhirnya yang bertahan hanyalah dua orang. Pak Di (Imam Haji Mohammad Zohdi @ Ustaz Zohdi) adalah di antara kedua orang yang tetap bertahan belajar walaupun usianya di kala itu masih muda remaja dan kebetulan beliau di masa itu telah pun bergelar “Jurulatih Silat Gayung Fatani”.

 

Sehinggalah pada suatu hari, Pak Ya bermimpi didatangi oleh guru Silat Kalimahnya ; Panglima Tok Rashid yang menyatakan di dalam mimpi itu : “ Aku pesan dah kat hang. Silat Kalimah ni mesti hang curahkan terlebih dahulu di Negeri Kedah sebelum ia berkembang ke tempat-tempat lain “.

Pak Ya pun selepas itu ( tahun 1965) menuju ke Negeri Kedah Darul Aman (tepatnya di Alor Setar) untuk mengembangkan Silat Kalimah. Di sana, Pak Ya mengajar 20 orang murid-muridnya di situ termasuklah Allahyarham Fadzil ( salah-seorang yang berketurunan Panglima Tok Rashid : guru kepada Pak Ya) dan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad (yang kemudian mengasaskan Silat Cekak) di bawah naungan Perkumpulan Budaya Sri Kedah.

 

 

Pemergian Pak Ya ke Alor Setar itu menyebabkan Pak Di di Batu Kurau tidak sempat menamatkan pelajaran Silat Kalimah dan apatah lagi Pak Di ketika itu pun sendiri berhijrah ke Negeri Pahang Darul Makmur. (Namun setelah Pak Ya kembali ke Batu Kurau dan kebetulan pula Pak Di juga pulang ke kampung halamannya di masa yang sama, Pak Di pun meneruskan kembali sehingga tamat pelajarannya di bawah asuhan Pak Ya) .

Ketika itu Silat Kalimah semakin berkembang pesat hinggakan sampai ke Bandar Ipoh (Perak) , Kota Bharu (Kelantan) dan ibu kota Kuala Lumpur. Tempat-tempat itu adalah tempat biasa didatangi oleh Pak Ya sebelum ini untuk menjual ubat-ubatannya. Di Kota Bharu, Allahyarham Mansur (Pak Mansur : anak tiri kepada Pak Ya) dan Pak Ya sendiri memainkan peranan mengembangkan Silat Kalimah.

 

Di Kota Bharu ini, Pak Mansur berkenalan dengan seorang bekas tentera yang kemudiannya turut sama menjual ubat-ubatan tradisional. Azmi Long namanya (Allahyarham Cikgu Azmi Long) . Apabila Azmi Long ‘menguji’ kemahiran Pak Mansur di sana, di dapati ilmu silat yang ada pada Pak Mansur ‘lebih-kurang sama’ dengan apa yang ada pada Pak Mansur.

“Awat silat hang lebih-kurang sama macam silat aku ?” ; tanya Azmi Long kepada Pak Mansur. Azmi Long ketika itu telah pun belajar SILAT CEKAK daripada Allahyarham Ustaz Hanafi di Alor Setar. Adiknya ( Allahyarham Redzuan Long @ Cikgu Redzuan Long ) pun turut sama mempelajarinya dari tangan Ustaz Hanafi sebelum tahun 1968.

“Aku tak tau. Aku belajar di Batu Kurau. Tok guru aku bernama Yahya Said” ; jawab Pak Mansur yang kemudian menulis nama dan alamat gurunya itu di atas secebis kertas dan menyerahkannya kepada Azmi Long.

Azmi Long kemudiannya menuju ke Batu Kurau. Rumah Pak Ya menjadi destinasi yang ditujunya. Niatnya adalah untuk mendalami Silat Kalimah dari tangan Pak Ya.

Sebaik sahaja Azmi Long sampai di rumah Pak Ya, beliau dapati Pak Mansur pun turut berada di situ. “Hang pun ada sini, Mansur. Hang buat apa sini ? “; tanya Azmi Long kehairanan.

“Ni lah rumah aku. Pak Ya tu pak tiri aku” ; jawab Pak Mansur.

“La, awat tak habaq (beritahu) kat aku Pak Ya tu pak tiri hang ?”; tanya Azmi Long lagi seperti tak puas hati dengan sikap Pak Mansur yang tidak memberitahunya dengan lebih lanjut mengenai Pak Ya ketika mereka berdua di Kota Bharu dahulu.

“Dah hang tak tanya, buat apa aku nak habaq ?“ ; jawab Pak Mansur dengan selamba.

Semenjak Azmi Long ‘menerima’ Silat Kalimah dari tangan Pak Ya, Silat Kalimah semakin pesat berkembang. Bahkan di beberapa kem tentera di Negeri Kedah ( Kem Tentera Sg. Petani ) dan Negeri Johor Darul Takzim ( Kem Majidee) , Silat Kalimah diterima dengan baik oleh pasukan tentera. Faktor Azmi Long sebagai bekas seorang anggota tentera juga memainkan peranan utama di dalam perkembangan Silat Kalimah ini.

 

Silat Cekak ( Persatuan Silat Cekak, samada Cekak Malaysia ataupun Cekak Hanafi ) sering mendakwa bahawa Silat Kalimah adalah saduran (diambil) dari Silat Cekak. Ini disebabkan Azmi Long dan adiknya ; Redzuan Long ketika belajar daripada Pak Ya, mereka berdua adalah jurulatih-jurulatih Silat Cekak di zaman awal Ustaz Hanafi mengembangkannya. Dakwaan itu sebenarnya TIDAK BENAR kerana Pak Ya sendiri mempunyai teman-teman, anak tirinya dan murid-muridnya yang terlebih dahulu belajar Silat Kalimah sebelum Ustaz Hanafi. Cuba lihat kepada rekod yang dipaparkan di atas.

Ustaz Hanafi sendiri tidaklah belajar sehingga tamat peringkat kesemua peringkat Silat Kalimah, bahkan hanya sampai peringkat kedua sahaja. Dan peringkat kedua yang diterima itulah beliau jadikan sebagai pelajaran peringkat ketiga di dalam Silat Cekak yang beliau kembangkan di kemudian hari. (Insya-ALLAH, nanti akan dijelaskan di dalam tulisan lain mengenai debat di antara Pak Ya dan Cikgu Zahalan @ Mazlan Man (sekarang beliau adalah Pengasas PIKUM ) dengan Ustaz Hanafi di Konvensyen Silat Melayu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mengenai yang mana satukah yang asli di antara Silat Kalimah dengan Silat Cekak).


 

Apabila Pak Ya ditanya mengenai Ustaz Hanafi, mengapakah silat yang dikembangkan oleh beliau dinamakan pula sebagai ‘SILAT CEKAK’ , maka Pak Ya pun menjawab : “ Aku pun heran (hairan) pasai apa (mengapa) Hanafi tanya aku silat ni namanya apa ?. Dia tak faham ka tiap-tiap hari aku ajaq (ajar) dia ikrar : SILAT AKU SILAT KALIMAH, AKU BERSILAT DI DALAM KALIMAH. Biaq pi (biarkan) kat dialah nak bubuh nama apa pun ! “.

Begitulah serba-sedikit kisah awal bagaimana Pak Ya mengembangkan Silat Kalimah. Inilah sejarah yang turut sama diceritakan oleh guru-guru tua Silat Kalimah seperti Allahyarham Pak Mansur, Pak Di, Allahyarham Cikgu Azmi Long, Allahyarham Pak Muslim dan Pak Jo (Pak Johari @ Pak Jauhari) sendiri.

 

 

Sekian. Semoga cahaya mentari nan terang benderang semakin membantu mata yang celik untuk melihat jalan yang benar.

About Kelab Silat Kalimah (Yahya Said)

The blog for everybody especially for Pak Jauhari's students & lovers.
This entry was posted in AKAN DATANG, Pengenalan, RENUNGAN, SEJARAH, SILIBUS PELAJARAN. Bookmark the permalink.

2 Responses to KISAH AWAL PAK YA MENGEMBANGKAN SILAT KALIMAH & SIAPAKAH BERSAMA-SAMANYA ?

  1. Mohd Zulfika says:

    alhamdulilah , setelah saya membaca kisah-kisah diatas membuatkan diri saya ingin menuntut ilmu silat kalimah .insyallah kalau ade rezeki dan umur panjang akan saya mencari seorang guru yang tulus untuk memberi sedikit ilmu kepada saya . insyallah ..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s