APAKAH SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH YANG DINILAI-SEMULA OLEH PAK JO DAN MENGAPA ?

APAKAH SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH YANG DINILAI-SEMULA OLEH PAK JO DAN MENGAPA ?

Silat Kalimah yang diajar oleh Pak Haji Jauhari @ Eusof bin Ali ataupun lebih dikenali sebagai “ Pak Jo “ adalah berbeza dengan apa yang diperkenalkan sebelum ini. Dan sudah tentulah ia lebih berbeza dengan Silat Cekak. (Hal ini diakui juga oleh sebahagian murid-murid Pak Jo yang pernah mempelajari Silat Kalimah di tempat lain ataupun yang pernah menuntut Silat Cekak hingga bergelar jurulatih).

Dan sebelum penulis menjelaskannya dengan lebih lanjut, anda disarankan agar memahami terlebih dahulu tulisan-tulisan sebelum ini, khususnya yang bertajuk :

1 – PAK JO : “AKU BUKAN PENDEKAR” ADALAH PENYEBAB SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH DINILAI SEMULA https://kelabsilatkalimah.wordpress.com/2010/12/12/pak-jo-%E2%80%9Caku-bukan-pendekar%E2%80%9D-adalah-penyebab-silibus-pelajaran-silat-kalimah-dinilai-semula/

2 – PAK YA : SILAT KALIMAH ADALAH SILAT APAM BALIK DAN JANGANLAH BERAMAL “MEMBUTA-TULI”

https://kelabsilatkalimah.wordpress.com/2010/12/13/pak-ya-silat-kalimah-adalah-silat-apam-balik-dan-janganlah-beramal-%E2%80%9Cmembuta-tuli%E2%80%9D/

Perbezaan itu juga dapat dilihat dari sudut ISI-ISI PELAJARAN (SILIBUS) dan KAEDAH / PENDEKATAN MENGAJAR yang ditekankan oleh Pak Jo.

Di antara elemen-elemen penting yang sangat ditekankan oleh Pak Jo di dalam silibus pelajaran dan pendekatan mengajarnya adalah seperti berikut :

1 – Peringkat Pelajaran Silat Kalimah adalah sebagai mana asal, iaitu 3 peringkat. Dan ia hendaklah ditamatkan di dalam masa 6 bulan. Ini kerana di zaman moden ini, masa menjadi lebih berharga dan kesuntukan masa menyebabkan ramai peminat dan pelajar silat tidak dapat menamatkan pelajaran mereka hingga ke tahap yang memuaskan.

Masa 6 bulan ini bermaksud : LATIHAN YANG DIADAKAN SEBANYAK 2 KALI DI DALAM SEMINGGU SELAMA 6 BULAN. (6 Bulan Latihan dibahagikan dengan 2 x seminggu = 48 Hari Latihan).

Tempoh masa ini berdasarkan sejarah sebagaimana Sultan Ahmad Tajuddin III ‘menurunkan’ Silat Kalimah ini kepada panglimanya ; Panglima Ismail, demi menghadapi penderhakaan seorang Batak yang bernama TUAH di Daerah Kerian, Perak lebih 130 tahun lalu (ketika itu utara Perak berada di bawah pemerintahan Negeri Kedah Darul Aman). Baginda ‘menurunkan’ Silat Kalimah ini selama 44 hari.

Maka dengan tempoh latihan selama 6 bulan itu (48 hari), setiap pelajar akan dididik dengan peringkat pertama (selama 4 bulan), peringkat kedua (selama 1 bulan) dan peringkat ketiga ( selama 1 bulan).

Apakah tempoh 6 bulan ini akan membolehkan setiap orang yang belajar itu menjadi “ PENDEKAR “ ???.

Pak Jo menjawab : “ Nak jadi PENDEKAR macam mana ?. Pak Ya ( Pak Yahya Said ) pun belajar Silat Kalimah dari Panglima Tok Rashid selama 3 tahun penuh. Pagi-petang-siang-malam belajar Silat , Perubatan dan Agama Islam. Yang kita ni, takkan belajar 6 bulan dah boleh jadi pendekar ?. 6 bulan tu MEMADAILAH (mencukupi) untuk sekadar boleh menjaga diri. Itu lebih baik dari langsung tak tahu atau tak belajar “.


2 – Setiap tindakan di dalam SILAT KALIMAH mestilah boleh dikaitkan secara ‘hujah ilmiah’ (scientific) dengan asal-usulnya , iaitu tidak boleh melebihi FITRAH KEMANUSIAN DAN KAIFIYYAT (TATACARA) SOLAT (SEMBAHYANG).

Sebagai contohnya : Penggunaan ‘TUMBUKAN’ di dalam silibus yang Pak Jo perkenalkan adalah sangat terbatas. Ini disebabkan kaedah genggaman penumbuk langsung tiada di dalam solat. Lagipun, ini bertujuan agar setiap penuntut dapat menggunakan tangannya dengan semaksima mungkin, bukan hanya dengan tumbukan apabila menghadapi lawannya. Kebanyakannya cara penggunaan tangan adalah memfokuskan kepada tikam , hentak , lempang , tangkap , cucuk , tarik dan sisip.

3 – Berkonsepkan SILAT MELAYU YANG ASLI . Biasanya SILAT MELAYU YANG ASLI dianggap sebagai pergerakan yang ringkas – mudah – tepat – berkesan – tidak menggunakan banyak tenaga (kudrat).

Sebagai contohnya : Pak Jo tidak menggalakkan para penuntutnya untuk mengelak ke kanan – ke kiri atau “ mencuri langkah / tapak ” ketika ‘menyambut serangan lawan’.  “ Mengapa terlalu kelam-kabut bertindak sedangkan lawan itu baru menghantar serangannya sebiji sahaja. Beranikan diri sebab Pak Ya pun biasa sebut : “ Learn to be a brave target “. Dan apabila serangan disambut, musnahkannya dengan seringkas-ringkas pergerakan dan tindakan “, hujah Pak Jo.

Pak Jo juga sentiasa mengingatkan para penuntutnya agar menggunakan kaedah “ KELAM DUNIA “ dan “ GEGAK – GEMPITA “ ke atas lawan agar sesuatu pergaduhan/perkelahian itu dapat ditamatkan dengan segera, insya-ALLAH.

4 – Pak Jo sangat menekankan kepada “ BERANI MEMANDANG KE ARAH LAWAN “ dan kaedah “ SUKAT & SEKAT “.

Lantaran itulah, Pak Jo tidak menggunakan kaedah menumbuk cara lama (old school fashion style) yang biasa diamalkan oleh pesilat-pesilat Kalimah (dan juga Silat Cekak) , iaitu muka dan kaki tidak dihadapkan ke arah lawan ketika menyerang ataupun melakukan serangan-balas.

Apatah lagi, Pak Jo berbuat demikian kerana Allahyarham gurunya sendiri ; Pak Ya pernah berpesan mengenai cara menumbuk Silat Kalimah dengan pesanannya : “ U backsight-Foresight-Target ! “. Sila renungkan tulisan sebelum ini yang bertajuk : PAK YA : BAGAIMANA MENUMBUK ? BELAKANG TAK DAK MATA ? https://kelabsilatkalimah.wordpress.com/2010/12/12/pak-ya-bagaimana-menumbuk-belakang-tak-dak-mata/

Artinya : Ketika solat (sembahyang) hadapkanlah mukamu ke arah tempat sujud dan hatimu pula dihadapkan sentiasa kepada Tuhanmu. Di dalam bersilat pula, hadapkanlah penglihatanmu ke arah lawanmu dan hatimu pula hendaklah sentiasa memohon kekuatan dan kemenangan dari Tuhanmu !.

SUKAT & SEKAT pula adalah istilah yang baru diperkenalkan oleh Pak Jo. Kaedah dan petuanya telah lama wujud di dalam Silat Kalimah, Cuma ISTILAHnya sahaja yang tidak terzahir. SUKAT & SEKAT adalah menyamai petua UKUR – JENGKA – JANGKA.

SUKAT artinya menyukat / mengukur kedudukan di antara seseorang pesilat itu dengan lawannya. Apakah jarak itu jarak yang selamat atau sebaliknya ?. Apakah jarak itu memungkinkan seseorang itu bertindak ke atas lawannya ?. Dan adakah serangan yang ditujukan itu benar-benar akan mengenai sasaran ?. Dan jika ia mengenai sasaran apakah efek (kesan) yang bakal terhasil ?. Adakah sekadar cecah, atau lajak ?. Adakah sekadar sakit sedikit ataupun cedera parah ?.

SUKAT juga membawa maksud JANGKAAN, iaitu mesti dapat menjangkakan apakah tindakan selanjutnya yang boleh dilakukan oleh seseorang lawan itu ke atas kita.

“ MEMBUNUH SETIAP APA YANG DIJANGKAKAN DAPAT DILAKUKAN OLEH LAWAN “ itulah pula yang dinamakan sebagai “ SEKAT “ .

Dari sini akan lahirlah pula berbagai kaedah dan cara pergerakan untuk menyelamatkan diri dari ancaman lawan tersebut dan sekaligus dapat pula dilaksanakan tindakan dan “ hukuman “ ke atas lawan itu.

5 – BUAH-BUAH TEPISAN & PENANGKAP adalah sebanyak 17 biji sahaja dengan beberapa kepilan (pecahan). Berbeza dengan silibus sebelum ini yang menekankan kepada 27 biji buah tepisan & penangkap yang disebut sebagai “ BUAH JATUH “.

Mengapa pula begitu ?. Kerana bukan semua buah yang berjumlah 27 biji itu dapat dipertanggung-jawabkan untuk menghadapi situasi sebenar pertempuran bahkan ia lebih kepada untuk latihan atau petunjukan lakonan. Dan jumlah buah-buah tepisan dan tangkapan ini dikurangkan agar silibus pelajaran itu menjadi lebih ringkas – lebih mudah – lebih berkesan. Yang lebih ringkas – lebih mudah – lebih berkesan itulah ‘KELAJUAN’ dan ‘KEPANTANSAN’ dan bukannya ia diukur menurut hitungan saat seperti yang biasa dianggap oleh pengamal Silat Kalimah dan lebih-lebih lagi Silat Cekak selama ini.

Sebagai contohnya : Cubalah lakukan “ BUAH LUNCUR @ DOA KEDUA “ kepada lawan yang saiz badannya jauh lebih besar dan kuat dari kita. Apakah mungkin ?.

Contoh selanjutnya : Cubalah pula lakukan “ BUAH QIYAM KANAN GANTUNG @ BUAH MOTOSIKAL “ kepada lawan yang lebih besar dan kuat dari kita dan kedudukan kakinya pula betul-betul berhadap ke arah kita (bukan ke arah tepi sebagaimana yang biasa dilakukan sebelum ini ?).

Begitu juga dengan “ BUAH TAKBIR KIRI BAWAH “ . Apakah mungkin seseorang itu mengangkat kaki lawannya jika lawannya itu lebih bertenaga dan lebih besar saiznya dari dirinya ?.

6 – MENZAHIRKAN KAEDAH “ UNDUR KE BELAKANG “ DAN “ GELEK (KELEK) “.

Telah menjadi satu perkara yang didoktrinkan kepada para pesilat Silat Kalimah sebelum ini bahawa SILAT KALIMAH INI TIDAK BERUNDUR DAN HANYA MELANGKAH KE HADAPAN APABILA MENGHADAPI LAWAN.

Jika benar SILAT KALIMAH ini adalah bersumberkan pergerakan fitrah (semulajadi) seseorang manusia yang waras dan ia juga berkonsepkan pergerakan dan kaifiyyat sembahyang (solat), maka mengapakah pula tiada pergerakan UNDUR ?.

Biasanya jawapan untuk soalan itu adalah : “ Ya, memang kita tidak berundur ke belakang, Cuma tangkap ‘cara keputusan’ iaitu dengan sebelah kaki “dijengkit” (dijungkitkan) di belakang “.

Bagi Pak Jo, itu bukanlah jawapan yang munasabah. Itu hanyalah dalih yang sengaja ditimbulkan agar KONSEP BAHAWA SILAT KALIMAH TIDAK BERUNDUR SAMA-SEKALI DITELAN “BULAT-BULAT” SECARA TAQLID BUTA !.

Bukankah “ Buah-buah Keputusan “ itu pun sebenarnya adalah PERGERAKAN UNDUR KE BELAKANG ?.

“ Jadi, akui sahajalah kerana apa salahnya jika kita berundur ke belakang ?. Di dalam sembahyang pun ada ketikanya kita dibenarkan berundur, maka apatah lagi di dalam silat ? “ , tanya Pak Jo sekaligus dengan tujuan untuk ‘membuka minda’.

“ KONSEP TIADA PERGERAKAN UNDUR KE BELAKANG adalah cedokan secara taqlid buta @ mengikut membuta-tuli tanpa usul-periksa dari Silat Cekak yang dibawa oleh Allahyarham Ustaz Hanafi. Pesilat-pesilat Silat Kalimah pun turut sama terkena tempiasnya dengan doktrin ini kerana merasakan ia boleh melahirkan kehebatan dan kekaguman orang ramai terhadap silat ini “ , hujah Pak Jo lagi.

Pergerakan “ GELEK @ KELEK “ pula sangat ditekankan oleh Pak Jo. “ Cuba lihat jika ada seseorang itu yang hendak mengambil sesuatu di kanan atau kirinya. Keadaan itu tidak memungkinkan dia melangkah ataupun berundur. Bukankah dia akan bergelek ?. Maka, gelek itu sendiri adalah pergerakan naluri manusia “ , kata Pak Jo selaku berhujah.

Gelek juga dilakukan lebih-lebih lagi apabila menghadapi lawan yang lebih besar dan lebih kuat tenaganya berbanding seseorang pengamal Silat Kalimah itu.

7 – Apakah yang patut dilakukan apabila seseorang lawan itu bergerak, ‘melapis’ ataupun bertindak apabila seseorang pesilat Silat Kalimah itu mahu melakukan ‘BUAH TEPISAN & BUAH TANGKAPAN (BUAH JATUH)’ KE ATASNYA ?.

Contohnya : BUAH QIYAM KIRI atau disebut sebagai BUAH KUNTAU KIRI oleh pesilat-pesilat Cekak yang dibawa oleh Allahyarham Ustaz Hanafi. Buah ini di dalam silibus yang diperkenalkan dan dinilai-semula oleh Pak Jo dipanggil sebagai “ BUAH QIYAM KANAN “ .

Apabila kita (pengamal Silat Kalimah) cuba memaksa lawan untuk turun (jatuh ke hadapan) dan dia (lawan itu) pula tidak ‘ berkerja-sama ‘ @ ‘ tak mahu ikut ‘, misalnya rusuknya tidak mampan dek pukulan atau dia ‘berkuda-kuda kemas’ disebabkan kakinya tetap menghadap ke arah hadapan, maka apakah tindakan kita ?. Biasanya , para pengamal Silat Kalimah ataupun Cekak akan ‘hilang punca @ mati akal @ hilang idea‘ apabila menghadapi situasi ini.

Namun, bagi Pak Jo. Masih ada banyak cara lagi untuk tetap melaksanakan NIAT ASAL itu . Dan cara itu bukanlah cara yang direka-cipta sendiri (‘memandai-mandai’) oleh akal Pak Jo melainkan ia adalah bersumberkan kepada 2 pegangan utama Silat Kalimah iaitu , FITRAH & KAIFIYYAT SOLAT.

Begitu juga dengan ‘BUAH TAHIYYAT’ . Benarkah dapat disambut dengan selamat (oleh si pelakunya) yang duduk di dalam keadaan duduk tahiyyat jika tepisan yang dilakukannya adalah ‘TEPISAN DOA’ ?. Bukankah serangan lawan itu akan terlajak dan mengenai muka si pelaku ‘Buah Tahiyat’ itu ?. Maka, disebabkan inilah Pak Jo menukar kaedah ‘BUAH TAHIYAT’ itu dari tepisan DOA ditukarkan kepada TEPISAN QIYAM + GELEK. Dan jika itu belum memadai untuk ‘menghukum’ lawan itu, maka kaedah peringkat ketiga akan diguna-pakai. (Sebab itulah Pak Ya sendiri pernah berpesan kepada kawannya yang belajar daripadanya selama 6 hari (dengan niat untuk menuntut bela terhadap musuhnya) dengan katanya : “ Yang aku bagi kat (kepada) hang (kamu) tu belum mencukupi untuk menghadapi lawan hang “ . Rasionalnya adalah, pelajaran Silat Kalimah yang dipelajari tanpa peringkat ketiga adalah CACAT dan MEMBAHAYAKAN DIRI SENDIRI. Apatah lagi jika kaedah SUKAT DAN SEKAT juga tidak diberikan perhatian utama oleh para pelajar).

8 – KONSEP BELAJAR SECARA “PAKEJ” – Iaitu si penyerang dan si penyambut serangan sama-sama belajar bagaimana untuk bertindak dengan cara yang tidak membahayakan diri sendiri dan cara yang betul lagi berkesan.

Contohnya : “ BUAH QIYAM GARI “ (KANAN ATAUPUN KIRI) – Si penyerang mestilah belajar menghantar serangannya itu tepat ke sasaran. Si penyambut serangan pula mestilah belajar bagaimana untuk menepis serangan itu dengan betul dan kemudian kepada langkah-langkah selanjutnya. Apabila lawan itu hendak dijatuhkan, si penyambut itu tadi hendaklah mengetahui apakah cara terbaik untuk “menghilangkan imbangan lawan (off-balance)” dan si penyerang pula hendaklah belajar bagaimana untuk jatuh tanpa menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri (agar dirinya juga selamat dan dia juga ada peluang untuk bertindak-balas ke atas lawannya yang menyambut serangannya itu dan sebagai persediaan awal sebelum masuk ke peringkat ketiga nanti).

Inilah yang disebutkan sebagai “ PAKEJ PELAJARAN DI DALAM SILAT KALIMAH “. Belajar menyerang dan menyambut serangan termasuklah belajar menjatuhkan lawan atau menjatuhkan diri sendiri apabila situasi memerlukannya.

9 – MENGURANGKAN PENGGUNAAN TENAGA : Apakah yang anda fikirkan apabila anda terpaksa bertempur dengan seorang lawan yang saiz badannya lebih besar dari anda dan tenaganya lebih banyak daripada anda ?.

Kebanyakan orang akan beranggapan : “ Habislah aku, jahanamlah aku jika lawan yang aku hadapi itu jauh lebih sasa, lebih besar dan lebih kuat daripada diriku ! “.

Bagi Pak Jo pula tidak begitu. Setiap manusia ada HAK untuk menyelamatkan dirinya apabila terancam. Setiap manusia ada HAK untuk menumpaskan lawannya apabila dirinya tercabar. Jika sesuatu teknik atau silat atau seni tempur itu hanya sesuai digunakan oleh seseorang yang bergelar PENDEKAR , atau SEORANG YANG BERTUBUH SASA SEPERTI SANG ‘BODY BUILDER’ (Ahli Bina Badan) maka sudah tentulah itu TIDAK SESUAI DENGAN FITRAH SEMULAJADI MANUSIA.


Pergerakan secara FITRAH adalah pergerakan yang mampu dilakukan oleh semua manusia (yang sempurna fizikal dan mentalnya) dan bukanlah hanya untuk manusia yang bersifat pendekar dan bertubuh sasa semata-mata !.

Berdiri dengan betul seperti kelakuan hendak melaksanakan sembahyang (solat) adalah satu pergerakan yang dapat dilaksanakan oleh semua manusia yang sempurna. Sedangkan ‘berkuda-kuda’ adalah satu bentuk kedudukan yang hanya boleh dilaksanakan oleh manusia yang dilatih sebegitu.

Menumbuk juga bukanlah satu kelakuan fitrah asal semula-jadi manusia biasa. Ianya hanya dapat dilaksanakan oleh mereka yang biasa dilatih dengan latihan-latihan ke arah itu seperti latihan “ push –up “ dan “ punch bag “. Tanpa latihan yang cukup, tumbukan itu akan menyebabkan kecederaan kepada si pelakunya itu sendiri. Sedangkan “ menampar “ , “ menarik “ , “ menghentak ” dan “ mencucuk “ adalah satu perbuatan yang mudah dilakukan kerana ia lebih sesuai dengan fitrah kemanusiaan. Sebab itulah kaum wanita dan anak-anak lebih mudah menggunakan kaedah-kaedah itu berbanding dengan kaedah tumbukan.

Pergerakan secara fitrah inilah menyebabkan tenaga dan kekuatan tidak perlu digunakan dengan maksimum dan dengan banyak.

“ Jika hanya si pendekar ataupun seseorang yang bertubuh sasa sahaja yang patut menang di dalam sesebuah pertempuran / pergaduhan maka itu bermakna ALLAH tidak adil di dalam mencipta manusia yang ada berbagai saiz dan rupa. Walhal setiap manusia ada HAK untuk selamat dan menang di dalam sesebuah pertempuran. Setiap manusia ada hak untuk “ survive “ di dalam kehidupannya “ ; kata Pak Jo.

Setiap pergerakan hendaklah dilakukan secara “ flow “ (air yang mengalir dengan tenang dan lancar tanpa sebarang sekatan) . Sekatan di dalam bergerak dan bersilat pula adalah KAKU (rigid) ataupun LEMBIK (flaccid) .

Pak Jo juga sentiasa menekankan “KEANJALAN” (Flexibility) di dalam bergerak . Kata beliau : “ Yang dikehendaki adalah KERAS dan LEMBUT . . Sedangkan yang tidak dikehendaki adalah KAKU-KEJANG DAN LEMBIK. Tidak perlu bersusah payah seperti seorang ahli Karate yang melakukan ‘KATA’nya. Berkedudukan begitu tegap, kedua-dua kakinya mencengkam bumi dan kejang urat-uratnya hingga ke mukanya ?. Apakah dia mahu ‘membatukan diri’ ke tanah laksana sepohon pokok yang sarat dengan akar-akar yang menyelimuti batangnya ?. Apakah dia menyangka cukup dengan kedudukan itu dan tidak perlu dia melangkah lagi apabila menyerang ataupun menyambut serangan ?. Kaku dan lembik inilah menyebabkan tindakan menjadi lambat “ .

10 – Sangat menekankan KONSEP TAWAKKAL KEPADA ALLAH DI DALAM SETIAP PERKARA DAN HALA TUJU SILAT KALIMAH .

“ Kebanyakan pesilat termasuklah yang ada di dalam Silat Kalimah ini lebih banyak menceritakan hal-hal kependekaran dan kelicikan mereka di dalam menghadapi lawannya. Kalau lawan serang begini, kita nak buat bagaimana ?. Jika kita menyerang pula, bagaimana caranya ?. TANPA mereka mahu mengaitkannya dengan ALLAH TA’ALA. Sedangkan keselamatan diri dan kemenangan itu adalah berkat rahmat dan pertolongan serta izin ALLAH semata-mata. Apabila seseorang pesilat itu hanya menumpukan kepada usaha dirinya sendiri sebagai penyebab utama kemenangan maka jadilah dia manusia yang lupa diri dan ego. Dan apabila ego dan kekuatannya terhakis, dia akan cuba tumpang kepada sesuatu untuk mendapatkan semula semua itu. Dan apabila ALLAH hilang di dalam dirinya, rohnya dan akalnya, dah tentu dia akan menumpang kepada JIN dan SYAITAN, dan bukannya lagi kepada ALLAH “.

Yang paling ketara, penyebab utama mengapakah Pak Jo menilai semula dan mengubah-suai semua silibus Silat Kalimah sebelum ini adalah disebabkan oleh hal berikut. Katanya : “ Kalau saya ni pendekar atau orang yang ada berbagai silat ataupun seorang muda yang kuat tenaganya dah tentu saya tidak akan memikirkan hal ini. Sedangkan saya semakin tua dan tenaga pun dah tak banyak, tapi jika ditakdirkan saya terpaksa bertempur dan berlawan, saya tetap nak selamat dan menang. Tapi bagaimanakah caranya sedangkan silibus yang saya pelajari dan ajarkan selama ini ( semenjak tahun 1972 – 2001 ) tidak memungkinkan saya yang dah tua ini menggunakannya. Saya minta selalu agar ALLAH tunjukkan saya kefahaman melalui Silat Kalimah ini agar ia dapat digunakan sebaik mungkin oleh saya, walaupun saya dah makin tua dan lemah. Saya selalu minta agar ALLAH kurniakan kefahaman untuk menegakkan Islam dan untuk membela diri sebagaimana telah DIA kurniakan kepada guru-guru kita sebelum ini. Dan Alhamdulillah, ALLAH terima doa saya ini. Dan dari masa ke semasa, banyak perubahan dan pembaikian (repair) yang perlu dilakukan sebagaimana petunjuk dan ilham daripada ALLAH kepada saya. Dan ia tetap SILAT KALIMAH kerana ia adalah silat yang tidak lari dari fitrah semulajadi seseorang manusia dan pergerakannya boleh dibuktikan dan dikaitkan dengan kaifiyyat dan tatacara sembahyang umat Islam (solat) “.


Pak Jo juga sentiasa berpesan : “ Selagi ianya bukan AL-QURAN dan HADIST ataupun hukum-hakam agama yang muktamad, maka kita ada hak untuk mengubahnya sesuai dengan hal-keadaan yang dihadapi “.

Begitulah sebahagian daripada sebab-musabab Pak Jo mengubah-suai silibus pelajaran Silat Kalimah yang dapat dipaparkan kali ini. Semoga setiap yang baik itu dapat dicontohi. Setiap yang kurang baik dapat pula diperbaiki.

Sekian.

About Kelab Silat Kalimah (Yahya Said)

The blog for everybody especially for Pak Jauhari's students & lovers.
This entry was posted in INTIPATI SILAT KALIMAH, Pengenalan, RENUNGAN, SEJARAH, SILIBUS PELAJARAN. Bookmark the permalink.

4 Responses to APAKAH SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH YANG DINILAI-SEMULA OLEH PAK JO DAN MENGAPA ?

  1. k says:

    sy juga modified silat kalimah seperti pakjo…….sy lebih suka mengikut kesesuian diri….sy telah mengubah antara yg utama ialah tempisan…murid sy adalah anak sy sajer…..tepisan sy tukarkan dengan tidak menepis…iaitu memukul menggunakan buku lima penumbuk….jadi setiap kali musuh menumbuk sy pukul setiap tumbukanyer bukan menepis…..sy telah campurkan permainan silat kalimah dgn silat lian yg banyak diajar di terengganu…..

    • Salam , Saudara Khairul Azizul . Sekadar pandangan saya yang juga pengamal Silat Kalimah dan Silat Lian :

      1 – Walaupun kita bebas untuk mengubah-suai apa yang yang dirasakan perlu akan tetapi kita mesti mampu membuktikan kepada umum :

      (a) – Trademark @ Jatidiri setiap silat. Jika semua silat yang kita miliki itu sama lagi serupa , maka untuk apa ia punya nama berbeza.

      (b) – Trademark Silat Kalimah ialah : i – Ia mesti bergerak dgn pergerakan biasa (fitrah) yang boleh dipraktikkan oleh semua orang yang sihat wal afiat ( tidak cacat anggota ) bukannya pergerakan pendekar ataupun komando yang mereka itu adalah manusia yang telah melalui ” latihan luar biasa “. ii – Ia mestilah berdasarkan pergerakan solat – Di dalam Solat ada pergerakan yang dibenarkan dgn syarat ia adalah pergerakan yang diperlukan seperti berundur apabila ada makmum masuk “masbuq” di belakang, ke tepi (kanan dan kiri) apabila sof terbuka ruangnya. Menggaru (sekadar diperlukan dan bukannya sampai naik syok) dsbgnya.

      2 – Tepisan-tepisan di dalam Silat Kalimah adalah diambil dari kaedah-kaedah Solat kaum muslimin. Ada DOA – QIYAM – TAKBIR – RUKUK – TAHIYYAT . Apabila tepisan2 ini tidak lagi dipakai, sebaliknya saudara menggunakan kaedah ” Buah Pukul Lian ” , maka hilanglah trademark Silat Kalimah. Maksud saya SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH itu seperti tidak bernilai lagi. Memanglah di dalam bergaduh, kita gunakanlah apa sahaja yang mampu, tetapi ini soal SILIBUS PELAJARAN. Bagaimanakah hendak dibuktikan kepada umum bahawa SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH yang saudara miliki selama ini mampu membela diri seseorang di saat pergaduhan ?.

      3 – Apabila lawan (musuh) masuk menumbuk, Saudara Khairul Azizul akan ” menitik / memukul ” penumbuk itu dgn ” buku lima ” saudara ?. Ini bukannya kaedah Silat Kalimah bahkan ini kaedah ” Buah Pukul Lian ” !. Dan ia tidak dapat dipraktikkan oleh masyarakat awam kecuali mereka yang telah melalui satu latihan intensif seperti para pendekar dan komando yang latihannya lebih dari 3 tahun ? . Bagaimana saudara dapat buktikan bahawa Silibus Silat Kalimah yang memakan masa 6 bulan – 2 tahun dapat juga digunakan untuk membela diri ?.

      4 – Bagi saya saudara boleh sahaja mencapur-adukkan SILAT KALIMAH dengan LIAN, tetapi namanya bukanlah lagi SILAT KALIMAH ataupun LIAN. Letaklah nama lain. Setiap permainan ada trademark dan jatidiri masing-masing. Milo adalah milo. Nescaffe adalah nescaffe. Apabila kedua-duanya bercampur, ia tidak lagi dipanggil MILO ataupun NESCAFFE tetapi dinamakan NESLO. Maka begitulah juga dgn nama SILAT KALIMAH dan LIAN.

      Pak Ya sendiri belajar berbagai2 silat, namun apabila beliau menurunkan SILAT KALIMAH tidak pula mencampur-adukkan dengan silat-silat lain yang beliau pelajari sebelum ini. Bukannya beliau tidak mampu atau tidak boleh, tapi itulah dia AMANAH . Apabila beliau ditanya apakah Silat Kalimah ini beliau yang punya (asaskan), beliau menjawab : ” Silat Kalimah ini bukan hak aku, tapi hak guru-guru sebelum aku “. Artinya apabila beliau mengajar Silat Kalimah, beliau akan menurunkannya berdasarkan PETUA-KONSEP-KAEDAH-SENI Silat Kalimah. Dan apabila beliau bermain tekpi ataupun Tari Silat Pengantin, tidak pula beliau namakan ia sebagai SILAT KALIMAH juga. Itulah dia AMANAH yang beliau bawa.

      Itulah sekadar pandangan saya. Boleh jadi saya tersilap di dalam beberapa hal dan pandangan. Namun saya bersedia ditegur dengan hujah-hujah ilmiah. Bertindak dan bersilat juga berdasarkan hujah keilmuan.

      Apa pun saya sebagai Admin Blog Kelab Silat Kalimah (Yahya Said) mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian saudara menziarahi blog kami dan memberikan pandangan saudara.

      Wassalam. Terima Kasih sekali lagi.

  2. Salam;

    Saya amat tertarik dengan konsep Silat kalimah ini yang diasaskan Pak Yahya. Mulanya saya ingat Silat Kalimah ini sama saja dengan silat cekak yang lain seperti silat cekak hanafi dan cekak malaysia. Namun setelah membaca konsepnya ternyata berbeza.

    Saya mempunyai silat lain, namun bukanlah silat cekak namun saya dapat mengagak bagaimanakah yg dimaksudkan dengan qiam bergelek itu.

    Saya sebenarnya mempunyai sejarah hitam dengan silat cekak X. Ketika dahulu ketika belajar, dijadikan cerita saya bermasalah sikit buat buah yang diajar disebabkan saya tinggi dan kadang-kadang terkeluar gerak silat lama(orang lama pahamla pasal bende ni sebab gerak latah tu mmg sukar ditahan-tahan) Namun takderla sampai pukul deme balik.. kira macam buah yang mereka buat tu semuanya jammed/tersekat akibat kedudukan natural badan saya yang terlatih dengan silat lama. Itu menyebabkan mereka ingat saya kurang ajar dan cuba menunjuk-nunjuk. Dipendekkan cerita mereka beramai-ramai termasuk jurulatih cuba menyerang saya selepas solat subuh. Saya belajar silat cekak baru separuh peringkat pertama, namun mereka gagal menyerang saya. Semua tumbukan dan serangan mereka saya buang dengan gelek/kelek dan langkah yg ringkas.

    Perangai samseng mereka takderla saya sandarkan kepada Silat Cekak X tersebut sebab saya faham mungkin ahlinya sajer bersikap demikian. Namun daripada artikel ini saya mmg dapat mengagak yang mereka langsung tidak memahami konsep sukat dan gelek. Sedangkan konsep ini bg saya sangatlah penting ketika beradap musuh.

    Pendek cerita lepas tu saya keluar persatuan.. Nak tak nak kene keluarlah.. orang dah tak suka kita duk lama2 watper.

    Sekarang ini saya masih mengamalkan silat saya yang lama, sedikit gayong dan insyaAllah ada rezeki bolehlah belajar Silat Kalimah pulak.

    Bagi saya apabila silat mencapai peringkat tertinggi… Semua langkah, pukulan, elak tepis, kelek semuanya akan menjadi lebih ringkas. Mula-mula belajar kenalah melangkah, kiri-kanan, tepis satu-satu, bermalam tapi bila dah mahir semuanya akan simplified dan segerak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s