ROMBONGAN KE SELAMA & BATU KURAU

ROMBONGAN KE SELAMA & BATU KURAU

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat ALLAH TA’ALA, Kelab Silat Kalimah (Yahya Said) di bawah bimbingan dan pimpinan Pak Jo telah berjaya melaksanakan misi ziarah muhibbah dan tarbiyyah ke Selama dan Batu Kurau , Perak Darul Ridzuan pada Hari Sabtu 3. Zulqaedah. 1432 H / 1. Oktober. 2011 M yang lalu.

Niat untuk itu sebenarnya telah lama tersemat di dalam dada-dada kebanyakan ahli-ahli kelab tersebut , namun pada tarikh tersebut barulah ia ditakdirkan ALLAH TA’ALA menjadi kenyataan.

Peserta-peserta rombongan mula berkumpul di rumah Pak Jo sebelum pukul 12.00 tengah malam itu . Setelah cukup jumlah pesertanya ( 8 orang = 2 buah kereta ) , maka rombongan itu pun berangkat dengan izin ALLAH TA’ALA pada pukul 1.30 pagi.

Kereta pertama dipandu oleh tuannya ; Cikgu Fadzil Yassin ( Fadziel Selayang ) , sementara kereta kedua pula dipandu oleh tuannya ; Cikgu Amri ( Al-Hulm Al-aRaq ) .

Rombongan tiba di Masjid India , Bandar Taiping pada pukul 5.30 pagi . Rombongan segera bersiap-sedia untuk bersama-sama ahli qaryah untuk melaksanakan Solat Subuh Berjemaah di masjid yang bersejarah itu. Selepas Subuh, satu “ Majlis Ta’alim “ ( Majlis Ilmu ) diadakan dan ahli-ahli rombongan tetap setia mengikutinya walaupun tidak faham langsung apa yang disampaikannya ( disebabkan ia disampaikan di dalam Bahasa Tamil … Ha Ha Ha ! ). Memang ilmunya mungkin tidak kesampaian , tetapi fadhilat majlis ilmu dan zikir , pasti dapat dirasai bersama , insya-ALLAH .

Kemudian, rombongan bergegas menuju ke sebuah medan selera yang selalu disebut-sebut oleh penasihat kelab ; Al-Fadhil Ustaz Joraimi . Entah apalah yang menarik pada beliau. Mungkin disebabkan beliau biasa ke situ di zaman persekolahannya dahulu.

Dan nampaknya hajat Pak Jo kesampaian. Sebelum ini, Pak Jo sering menyebut mengenai “ Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang “ yang terkenal di Bandar Taiping yang bersejarah itu, dan kini hajatnya nampaknya kesampaian.

Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang , Roti Canai dan kueh-mueh menjadi “ sasaran serangan “ pesilat-pesilat dari Kuala Lumpur ini. Berselera sungguh mereka makan di pagi yang aman-damai itu.

Seterusnya, rombongan segera menuju ke destinasi pertama ; Pekan Selama , untuk menziarahi dan mewawancarai Al-Fadhil Tuan Guru Haji Ahmad Junaiddin ( Yang Dipertua Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat ) . Niat dan minat untuk menziarahi beliau bukan sahaja disebabkan beliau adalah seorang tuan guru yang menguasai selok-belok pengajian Islam semata-mata , malahan di dalam bidang kerohanian Islam dan Ilmu Metafizik Alam Nusantara Melayu ini.

Dan tambahan pula, beliau sendiri bersama-sama tuan gurunya : Allahyarham Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Othmani “ Pondok Lanai “ pernah menjadi Juri Bahagian Silsilah Silat di Pertandingan Silat Di-Raja yang dianjurkan sendiri oleh Almarhum Sultan Perak ketika itu ( tahun 1976 ) ; Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah . Bukan itu sahaja, malahan tuan guru yang sangat kita kasihi ; Allahyarham Pak Guru Yahya Said ( Pak Ya ) sendiri ketika itu menerima “ ijazah “ daripada Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin dengan dipantau oleh Allahyarham Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri . Itu semua menyebabkan ahli-ahli rombongan sendiri begitu bersemangat mahu mendengar “ secara langsung “ kisah itu daripada beliau.

Sebaik-sahaja tiba di destinasi yang dituju, rombongan disambut mesra oleh Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin sendiri di Rumah Rehat Pekan Selama. Dan wawancara pun dimulakan oleh penasihat kelab.

Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin “ mengupas “ soalan-soalan yang diajukan sekitar permasalahan-permasalahan “ Asal-Usul Bangsa Melayu dan hubungannya dengan Dakwah Islam “ , “ Peranan Syeikh ‘Abdullah al-Qumayri ar-Rifa’ie al-Qibrori RahimulLoh bersama-sama 11 orang sahabatnya mengembangkan Islam di Negeri Kedah Tua sehingga rahmat Islam itu bertebaran ke seluruh pelusuk Asia Tenggara “ , “ Kisah Syeikh ‘Abdullah mengislamkan Raja Kedah Tua ; Maharaja Durbar Raja II Phra Ong Mahawangsa dan hubungannya dengan kelahiran Silat Kalimah “ , “ Perbezaan di antara kuasa luar biasa yang lahir disebabkan oleh pertolongan ALLAH TA’ALA dengan mereka yang menggunakan perantaran jin-jin dan syaitan-syaitan terkutuk “ , “ Kisah Pak Ya menerima ijazah Silat Abjad (Asli) yang merupakan gerak amalan pusaka Almarhum Tok Kenali RahimahulLoh ; Wali ALLAH yang terkenal di Alam Melayu “ dan “ Kewajipan Mempertahankan Fahaman Ahlus Sunnah Wal Jama’ah dan Bahaya Ajaran Syiah yang sesat lagi menyesatkan “ .

Setelah puas dengan “ kupasan-kupasan ilmiah “ tersebut, ahli-ahli rombongan pun meminta izin untuk beredar dari majlis tersebut. Tambahan pula, Tuan Guru Haji Ahmad Junaidin sendiri hendak memenuhi hajat rombongan lain yang datang dari Selatan Thailand yang turut sama menemuinya di situ.

Rombongan segera menuju ke Batu Kurau untuk menziarahi Al-Fadhil Tuan Imam Mohammad Zohdi Haji Yusuf ( Pak Di ) yang merupakan Guru Tonggak Utama Persatuan Silat Kalimah Yahya Said .

Sebaik sahaja sampai di Pekan Batu Kurau, rombongan terlebih dahulu menziarahi pusara Allahyarham Pak Guru Yahya Said dan anak tirinya ; Allahyarham Pak Mansur .

Telefon bimbit Pak Jo berdering kesekian kalinya. Nampaknya Pak Di sudah tidak sabar-sabar menanti kedatangan rombongan , khususnya sahabat lama seperguruannya ; Pak Jo.

Rombongan langsung menuju ke rumah Pak Di yang tidak jauh dari tanah perkuburan itu. Dan rombongan kali ini dipimpin oleh Cikgu Zuraimi Sitiawan yang dihantar khusus oleh Pak Di sebagai “ pemandu pelancong “ .

Pak Di menerima kehadiran rombongan dari Kuala Lumpur ini dengan begitu mesra selain daripada keluarganya dan murid-muridnya yang datang dari Sitiawan dan Ipoh.

Perbincangan dengan Pak Di pun dimulai oleh rombongan. Topik perbincangan bersangkutan dengan hal-ehwal organisasi Persatuan Silat Kalimah Yahya Said , Kisah-kisah menarik di zaman awal perkembangan Silat Kalimah di bawah didikan Allahyarham Pak Ya sendiri , Pengkhianatan mereka yang terbabit dengan Ajaran Syiah terhadap Teras Kekuatan Silat Kalimah ; Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah , dan aktiviti-aktiviti masa hadapan .

Yang menariknya lagi adalah kisah daerah Batu Kurau yang menjadi destinasi para pendekar , khususnya yang terlibat di dalam aliran silat seperti Seni Gayung Fatani ( yang dikembangkan di situ oleh Allahyarham Pak Imam Mansor dan juga Pak Long Mat Haji ) dan Silat Kalimah ( yang dikembangkan sendiri oleh Allahyarham Pak Ya , Allahyarham Pak Mansur , Allahyarham Ustaz Affendi dan Pak Di sendiri ) .  Dan topik ini menjadi lebih menarik disebabkan penasihat kelab sendiri pernah menetap di Batu Kurau dan diasuh mendalami Seni Gayung Fatani di bawah didikan Pak Long Mat Haji.

Dan satu lagi topik yang tidak diperbincangkan namun ia tetap diakui ramai ialah keistimewaan daerah Batu Kurau adalah disebabkan oleh kerana ramai anak-anak gadisnya yang cantik dan menarik. He He He ! .

Selepas wawancara, semua dihidangkan dengan jamuan laksa oleh “ keluarga baru “ Pak Di dan selepas itu rombongan pun mengambil peluang bergambar kenangan bersama-sama beliau dan murid-murid beliau.

Tiba-tiba Pak Jo bersuara kepada sahabat lamanya ; Pak Di : “ Eh, hang takkan pakai baju pagoda putih ja nak bergambar ni ? “.

Apa lagi, Pak Di pun segera disuakan Baju Melayu Putihnya dan Pak Jo pun segera membantu sahabat baiknya ini mengenakan baju tersebut.

Sesi bergambar pun bermula dan berakhir dengan ceria. Dan rombongan pun memohon izin untuk segera pulang ke Kuala Lumpur sebelum waktu Maghrib menjelang tiba.

Sebenarnya , terlalu banyak kisah dan pengalaman yang manis lagi menarik sepanjang perjalanan rombongan ini. Namun sekadar itulah sahaja yang mampu diterjemahkan di sini buat masa ini.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua yang menjayakan rombongan kali ini, khususnya kepada Al-Fadhil Tuan Guru Ahmad Junaidin ‘ Silat Abjad ‘ , Al-Fadhil Pak Zohdi dan juga guru utama Kelab Silat Kalimah (Yahya Said) ; Al-Fadhil Pak Jo serta sahabat-sahabat dari Persatuan Silat Kalimah Yahya Said Cawangan Ipoh dan Manjung .

Insya-ALLAH , ziarah seperti ini akan berulang lagi. Keenakan ilmu sama dapat ditimba, kemanisan ukhuwwah dapat sama dikecapi dan dipertautkan dan kemantapan Aqidah Islam semakin dapat diperteguhkan serta segala Ajaran Sesat – Syirik – Bid’ah Dholalah – Murtad dapat sama-sama diperangi dengan segala upaya dan cara.

Sekian.

 

About Kelab Silat Kalimah (Yahya Said)

The blog for everybody especially for Pak Jauhari's students & lovers.
This entry was posted in IKLAN SILAT KALIMAH, Pengenalan, SEJARAH. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s